BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Salam kepada Admin,

Saya ingin bertanya, saya ada beberapa rakan-rakan antarabangsa semasa di universiti dan kadangkala bertanya khabar. Namun, saya diberitahu salah satu daripada mereka dalam keadaan masalah kewangan untuk meneruskan hidup. Jadi saya mempunyai niat untuk menolong tetapi saya tahu dia juga orang berpikiran lapang (contoh, liberal, menyokong LGBT). Jadi, apakah hukum sedekah kepada mereka yang memerlukan (seperti orang yang dalam keadaan muflis, miskin dan lain-lain) tetapi mempunyai sifat atau fahaman yang memang terpesong dari Islam.

 

Sekian,

Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Bersedekah merupakan antara amal soleh yang amat besar fadhilat dan ganjaran yang diberikan kepada pelakunya. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 261:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: Perumpamaan golongan yang membelanjakan harta mereka di jalan Allah adalah seperti satu biji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai. Dan di setiap satu batang tangkai itu terdapatnya seratus biji benih. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah itu Maha Memberi Keluasan lagi Maha Mengetahui.

Merujuk pada persoalan saudara, hukum sedekah kepada mereka yang memerlukan disebabkan keperluan mereka untuk makan dan minum bagi meneruskan kehidupan adalah diharuskan kepada sesiapa sahaja walaupun diketahui bahawa orang tersebut mempunyai sifat atau fahaman yang memang terpesong dari Islam seperti liberal, menyokong LGBT atau sebagainya. Bantuan ini tidak termasuk dalam larangan Allah sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 2:

ۚوَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Saudara disarankan supaya memberi nasihat kepada orang tersebut (jika Islam) supaya kembali kepada fahaman yang betul dan tidak bercanggah dengan fahaman ahli Sunnah Wal Jamaah. Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin

والله أعلم بالصواب

 

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 182

message user image