BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Apakah hukum bermain permainan video online "Monopoly Go" yang dikatakan bahawa pengasas permainan tersebut dari negara Israel dan ramai yang mengatakan di dalam permainan tersebut terdapat suatu objek seperti bentuk "masjid".


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Hukum asal bermain permainan online atau dalam talian adalah diharuskan. Ini berpandukan kaedah fiqah yang menyatakan:

الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم

Maksudnya: Hukum asal sesuatu perkara adalah diharuskan, sehingga datang dalil (yang menunjukkan) pengharamannya.

Namun, sesuatu permainan boleh menjadi haram, sekiranya permainan tersebut mempunyai unsur atau perkara yang membawa pengharaman seperti:

  1. Mengandungi perkara maksiat.
  2. Menyumbang kepada syiar, pengembangan atau mempromosi agama lain.
  3. Mempunyai unsur perjudian dan khianat.
  4. Mengabaikan tanggungjawab terhadap perkara yang diwajibkan.
  5. Faktor ketagihan yang melampau.
  6. Hilang fokus terhadap realiti dan masyarakat sekeliling.
  7. Mendatangkan kemudharatan/ bahaya terhadap tubuh badan dan kesihatan kepada diri atau orang lain.
  8. Menghilangkan akhlak sebagai seorang Muslim.
  9. Mengganggu ketenteraman orang lain.
  10. Merendahkan atau menghina agama Islam.

Ini berdasarkan kepada kaedah fiqhiyah :

ما أدى إلى الحرام فهو حرام

Maksudnya: Sesuatu perkara yang membawa kepada yang haram, maka perkara tersebut hukumnya adalah haram.

Merujuk kepada persoalan tuan, bahawa pengasas kepada permainan itu yang dikatakan daripada Israel atau terdapat objek seperti 'masjid' tidak menjadikan permainan tersebut menjadi haram melainkan sekiranya terdapat unsur atau ciri-ciri sebagaimana yang dinyatakan di atas.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 193

message user image