BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt, saya ada dua soalan yang berkaitan. 1) Apakah hukum umat islam masuk ke gereja, tokong atau kuil hanya sekadar untuk melawat ?. 2) Bolehkah umat Islam pergi ke upacara pengebumian sahabat yang bukan islam tetapi tidak mengikuti ritual dan hanya sekadar diam dan melihat sahaja. Dan apakah hukumnya. Terima Kasih 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Memasuki rumah ibadat agama lain dengan sebab-sebab dan tujuan seperti membuat kajian lapangan, lawatan ilmiah dan berdakwah adalah diharuskan. Namun begitu, keharusan ini hanya terpakai untuk perkara yang diharuskan menurut syarak. Di samping itu, syarat asas bagi orang Islam yang ingin memasuki rumah-rumah ibadat agama lain adalah perlu mempunyai kefahaman agama dan akidah yang kukuh, hal ini kerana dikhuatiri mereka yang tidak mempunyai pegangan akidah yang kukuh akan mudah terpengaruh dan terpesong daripada kefahaman Islam yang sebenar. Oleh itu, itu seseorang itu diharuskan melawat ke rumah-rumah ibadat agama lain dengan syarat memiliki pegangan akidah yang teguh. Adapun bagi tujuan menghadiri perayaan agama bukan Islam adalah haram kerana ia termasuk dalam perkara yang berkait rapat dengan unsur-unsur keagamaan.

Merujuk kepada persoalan seterusnya, hukum menghadiri upacara pengebumian sahabat yang bukan Islam adalah diharuskan kerana ia merupakan perbuatan toleransi yang dibenarkan dalam Islam. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat ke-8:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

Maka seseorang itu diharuskan menghadiri pengebumian sahabat-sahabat atau ahli keluarga yang bukan Islam dengan syarat tidak terlibat dengan sebarang ritual keagamaan. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 311

message user image