BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, tuan Mufti. 

Saya ada seorang anak perempuan berumur 21 tahun. Sejak remaja dia suka kepada kumpulan/ artis korea yang dikatakan baik, banyak buat kebajikan dan hal2 kemasyarakatan. Padanya macam idola. Kumpulan tu bukan Islam.

Apabila saya cuba nasihat, selalu akan berlaku ketegangan kerana dia anggap saya cuba mengongkong dan tidak berfikiran terbuka. Semasa di sekolah menengah dia ikuti perkembangan kumpulan tu secara senyap, kiranya dah bertahun2 tanpa pengetahuan saya. Memang saya akui kesilapan saya tak dapat memantau sepenuhnya waktu tu. Dulu dia selalu berkurung dalam bilik dan main hp hingga lewat malam.  Sekarang tak la macamtu..sejak dia dah tamat diploma.

Macamana atau pendekatan yang perlu saya terangkan bahawa tak elok jadikan idola penyanyi bukan Islam. Apa yang saya nak terangkan ialah cuba ambil contoh orang Islam itu lebih baik. Pada anak saya dia ada cita2 untuk Islamkan penyanyi tersebut kerana kesian kepada lelaki tersebut  yang sangat baik. Anak saya ada masalah stress juga dan pada anak saya lagu yang dibawa oleh penyanyi tersebut boleh membuatkan dia rasa tenang.

Sebenarnya saya pun sangat stress bila cuba untuk nasihat anak saya. Dia tak boleh terima.  Saya sangat bimbang takut dia terpengaruh dengan cara hidup orang bukan Islam. Sebab padanya macam orang itu lebih baik dari orang Islam. Ibaratnya macam penyanyi itu, boleh hilangkan segala stress dia, sedangkan saya sebagai ibu ini lah yang macam punca stress baginya..apabila saya cuba terangkan baik buruk dan soal hukum hakam Islam.  Tiap kali saya cuba terangkan akan berlaku perbalahan dan akhirnya saya dan anak akan tertekan kedua-duanya.

Oleh kerana saya tak pandai nak berhujah dengan baik. Mohon sangat2 panduan dari tuan Mufti, adakah saya perlu hanya berdoa supaya anak saya sedar atau apa pendekatan atau penerangan daripada pihak tuan Mufti yang boleh saya sampaikan kepadanya. 

Terima kasih. Ampun maaf kerana soalan panjang lebar.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan; secara umumnya pada usia remaja terutamanya anak-anak sedang mula mencari identitinya sendiri. Perkembangan ini termasuklah melihat dan menunjukkan minat terhadap  perkara-perkara dan figur-figur di dunia luar mereka. Tidak dapat dinafikan ketika fasa ini,pasti ada perkara yang tidak berkenan di hati ibu bapa terhadap perubahan  terutama apabila terdapat pengaruh negatif terhadap anak-anak.

Pada masa inilah, peluang ibu bapa untuk mengenali rapat dengan anak. Ambil tahu siapakah idola mereka dan kenali selebriti kegemaran mereka. Apabila anak sudah merasakan kasih sayang dan perhatian ibu bapa terhadap mereka sedikit sebanyak dapat melembutkan hati mereka, mudah untuk membimbing mereka dengan cara yang baik dan berhikmah tentang nilai-nilai Islam. Firman Allah SWT ayat 125:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.

Pendekatan dakwah secara hikmah adalah dengan menunjukkan contoh yang baik terlebih dahulu dan menyampaikan mesej Islam secara bertahap (al-tadarruj). Untuk membentuk karakter dan akhlak anak memerlukan kesabaran, perjuangan yang sangat besar dan tempoh yang panjang. Penggunaan kata-kata yang lembut dan sopan amat penting bagi mendekatkan kita kepada orang yang kita dakwahkan.

Perkara lebih utama ibu bapa hendaklah sentiasa meminta kepada Allah supaya diberikan taufiq dan hidayah buat diri dan keluarga. Dengan itu, meskipun ibu bapa tiada di sisi anak-anak moga setiap perkara yang dilakukan anak-anak dibimbing oleh Allah SWT yang Maha Memelihara dan Melindungi.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 147

message user image