BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Saya telah berkahwin 10 tahun lepas berwalikan adik lelaki kerana ayah saya telah meninggal dunia. 

Adik lelaki yang menjadi wali saya itu telah meninggal dunia pada tahun 2022 . Selepas kematiannya baru saya tahu yang arwah seorang yang fasik. 

Apa yang harus saya lakukan sekarang.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Salah satu daripada syarat sah wali adalah wali yang 'adil. 'Adil bermaksud tidak melakukan dosa besar seperti meninggalkan solat, mengekalkan dosa kecil atau mencemarkan maruah diri seperti kencing di jalanan, berada dalam pusat-pusat hiburan, pusat perjudian atau seumpama dengannya. Sifat 'adil ini dilihat secara zahir dan bukannya secara batin. Memadai sesorang itu tidak secara terang terangan meninggalkan solat, tidak berpuasa atau terkenal sebagai peminum arak, maka dia dianggap sebagai 'adil dan sah akad nikahnya.

Telah menjadi amalan yang lazim bagi Penolong Pendaftar Perkahwinan atau imam jurunikah sebelum mereka melaksanakan upacara akad nikah, bagi memastikan segala syarat-syarat sah perkahwinan itu ditepati dan dipatuhi agar pernikahan itu sah pada hukum syarak. Antaranya mengajak semua hadirin terutamanya wali yang ingin menikahkan sendiri anaknya untuk bertaubat dengan beristighfar kepada Allah SWT yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Ini bagi memastikan wali bersih dari sebarang dosa semasa akad nikah dilangsungkan.

Tambahan pula, perkara tersebut telah pun berlalu dan semua pihak sama ada puan sendiri, suami, para saksi serta hadirin yang ada termasuk jurunikah berkepercayaan bahawa akad nikah yang dilangsungkan adalah sah. Oleh itu, tidak perlu diragui akan sahnya akad nikah puan bersama suami.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 39

message user image