BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan. Saya ada satu lagi soalan yang ingin diajukan. Apabila seseorang itu menghalalkan sesuatu yang haram seperti menghalalkan perbuatan mendedahkan aurat, walaupun dia sudah mengetahui keharamannya, maka dihukum kufur. Persoalan saya, bagaimana jika seseorang itu mengetahui hukum tersebut tetapi secara tidak sengaja menghalalkan perbuatan haram itu? Contoh kakak saya menegur saya kerana memakai seluar pendek sehingga menampakkan bahagian peha dan mengatakan perbuatan tersebut adalah haram. Dan saya secara spontan menjawab "tidak lah" walhal saya sudah mengetahui hukumnya. Selepas saya mengucapkan ayat tersebut barulah saya sedar yang perbuatan saya itu seolah2 menghalalkan perkara yang telah diharamkan. Saya cepat2 istighfar tetapi saya tidak memperbetulkan ucapan saya kembali dihadapan kakak saya. Apakah perbuatan saya membawa kepada kekufuran? Apakah cukup sekadar bersyahadah dan bertaubat kembali tanpa memperbetulkan ucapan saya itu? Sebab saya ada membaca / mendengar di satu platform media sosial yg menyatakan perlu bersyahadah dan memperbetulkan kembali ucapan di hadapan orang yang pernah kita ucapkan perkataan tersebut. Mohon penjelasan.


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله و بركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه الأجمعين أما بعد

Umat Islam hendaklah sentiasa mendalami ilmu agama, menghayati dan mengamalkannya agar terhindar dari perbuatan-perbuatan yang boleh menyalahi akidah dan syariat Islam.

Merujuk kepada soalan yang dikemukakan, seseorang yang melafazkan ayat-ayat kufur tanpa niat atau secara tidak sengaja tidak dihukumkan sebagai kafir dan tidak pula batal syahadahnya. Oleh itu, seseorang itu tidak perlu untuk mengucap syahadah kembali atau memperbetulkan ucapan di hadapan orang tersebut. Namun demikian, bagi memastikan ketenangan hati, adalah digalakkan memohon taubat kepada Allah SWT dengan beristighfar dan memperbaharui dua kalimah syahadah kerana ia bertepatan dengan hadis yang memerintahkan kita agar sentiasa memperbaharui keimanan. Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

جَدِّدُوا إِيمَانَكُمْ "، قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، وَكَيْفَ نُجَدِّدُ إِيمَانَنَا؟ قَالَ: " أَكْثِرُوا مِنْ قَوْلِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ

Maksudnya: Perbaharuilah iman kamu. Dikatakan: Wahai Rasulullah, bagaimana kami mahu memperbaharui keimanan kami? Baginda menjawab: Perbanyakkan mengucap La Ilaaha Illallah. (Riwayat Imam Ahmad)

Begitu juga, boleh sahaja dijelaskan atau memperbetulkan ucapan di hadapan orang yang terlibat sekiranya perlu. Adalah dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati baik dari sudut iktikad (dalam hati), perbuatan mahupun percakapan agar perkara tersebut tidak berulang kembali. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 217

message user image