BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, apa pendapat mufti tentang manhaj salafi di mana mereka menolak perbuatan  seperti baca yassin malam jumaat, tahlil, wirid selepas solat dan demonstrasi. Adakah mereka tekeluar dari ASWJ dan tak dikira sebagai pegangan salafi yang sebenar?


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله و بركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه الأجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, ingin dijelaskan terlebih dahulu maksud perkataan salafi yang berasal dari kata nisbah bagi al-salaf. Dari segi bahasa, al-salaf bermaksud orang-orang yang mendahului atau hidup sebelum zaman kita, manakala dari sudut istilah pula al-salaf  adalah merujuk kepada generasi awal Islam iaitu para sahabat Nabi SAW, para tabi’in dan tabi’ al-tabi’in dan para Imam yang mewarisi ilmu dan pendidikan dari generasi awal tersebut.

Golongan ini hidup pada tiga kurun pertama Islam (300 tahun awal perkembangan Islam) dan disifatkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai manusia yang terbaik berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ يَجِيءُ أَقْوَامٌ تَسْبِقُ شَهَادَةُ أَحَدِهِمْ يَمِينَهُ، وَيَمِينُهُ شَهَادَتَه

Maksudnya: Sebaik-baik manusia adalah mereka yang hidup pada kurunku (para Sahabat), kemudian mereka yang hidup selepas mereka (para tabi’in), kemudian mereka yang hidup selepas mereka (tabi’ tabi’in), kemudian akan datang kuam-kaum (generasi) yang mendahului penyaksian salah seorang dari mereka ke atas sumpah seorang yang lain, dan mendahului sumpah salah seorang dari mereka ke atas penyaksian seorang yang lain (banyak berlaku penyaksian palsu dan kurang mengambil berat soal agama). (Riwayat al-Bukhari) 

Di samping itu, akidah Ahli Sunnah Waljamaah adalah pegangan akidah yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW dan diwarisi oleh para sahabat, para tabi’in dan tabi’ al-tabi’in. Imam Abu Hassan al Asy’ari (260-324H) dan Abu Mansur al-Maturidi (248-333H) adalah dua orang imam yang memainkan peranan penting dalam menyebarkan akidah yang benar ini berdasarkan ilmu yang diwarisi sejak awal perkembangan islam (golongan Salaf). Maka, golongan salafi termasuk dalam kalangan ahli Sunnah Waljamaah kerana berpegang dengan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.  

Berkenaan dengan amalan membaca surah Yasin pada malam Jumaat, tahlil dan wirid selepas solat, perkara ini merupakan amalan yang baik dan tidak bertentangan dengan syariat Islam malah boleh memperbanyakkan zikir mengingati Allah SWT. Sekalipun terdapat golongan yang menolak amalan ini, namun mereka bukanlah dikira terkeluar daripada akidah ahli Sunnah Waljamaah selagimana mereka berpegang dengan al-Quran, Sunnah, qiyas dan ijmak ulama. Walau bagaimanapun, sebagai umat Islam, hendaklah berlapang dada dan menghormati setiap pandangan serta tidak berlebih-lebihan dengan menganggap pandangan pihak lain adalah salah, sesat dan bid’ah atau kafir hanya disebabkan perkara bersifat khilafiyyah. Fatwa Negeri Selangor yang diwartakan pada 17 Julai 2014 menyatakan persoalan khilafiyyah adalah perkara ijtihadiyyah dan tidak boleh sama sekali dihukumkan bid’ah kerana amalan tersebut telah diterima dan menjadi amalan ulama muktabar sejak dahulu. 

Sebagai kesimpulan, selagimana golongan yang mendakwa diri mereka sebagai salafi itu berpegang kepada acuan akidah yang dinyatakan di atas, maka mereka termasuk dalam golongan Ahli Sunnah Waljamaah dan terselamat daripada kerosakan akidah. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 662

message user image