BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

assalamualaikum wbt. akhir akhir ni saya merasa seperti kehilangan keyakinan terhadap allah swt. seperti tertanya tanya tentang wujudkah allah wujudkah perkara perkara ghaib sedangan saya telah belajar sifat-sifat allah. adakah saya dikira murtad jika saya kehilangan kepercayaan? bagaimanakah cara agar akidah&kepercayaan saya kembali.. apakah faktornya.. hal ini membuatkan saya jadi tertekan dan stress serta hilang kemanisan dalam beribadah, mengganggu rutin harian dan tidak boeh tidur. saya sudah mengulangi kalimah syahadah namun terasa kosong, saya solat namun terasa kosong. mohon penjelasan secepa mungkin.. terima kasih..


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Perasaan seperti hilang kepercayaan kepada Allah serta pertanyaan di dalam hati sama ada Allah benar-benar wujud atau tidak, tidak menjadikan seseorang Islam itu menjadi kafir atau murtad. Selagi kenyataan tersebut tidak ditekadkan dengan bersungguh-sungguh di dalam hati, melafazkan dengan tegas dan tetap dengan kata-kata atau melakukan perbuatan menyembah berhala atau sebagainya, ia dimaafkan dan hanyalah merupakan gangguan perasaan atau bisikan daripada syaitan. 

Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي مَا وَسْوَسَتْ بِهِ صُدُورُهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَكَلَّمْ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku apa yang diwaswaskan dengannya di dalam hatinya selagimana dia tidak melakukan atau mengatakan (apa yang diwaswaskan). (Riwayat al-Bukhari)

Perasaan, lintasan pemikiran atau pertanyaan seperti itu mungkin berlaku akibat daripada berlaku sesuatu kejadian yang menyebabkan kekecewaan yang bersangatan atau rasa berputus asa. 

Apa yang saudari boleh lakukan adalah sentiasa memperbahuri iman dengan cara memperbanyakkan ucapan (لا اله الا الله) sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

جَدِّدُوا إِيمَانَكُمْ، قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، وَكَيْفَ نُجَدِّدُ إِيمَانَنَا، قَالَ: أَكْثِرُوا مِنْ قَوْلِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ

Bermaksud: Perbaharuilah iman kamu, Rasulullah ditanya: Bagaimana cara untuk memperbaharui iman kami. Rasulullah SAW bersabda: Perbanyakkan berkata لا اله الا الله. (Riwayat Ahmad).

Berusahalah untuk berlapang dada, tanamkan rasa syukur atas segala nikmat dan pemberian Allah SWT sesungguhnya ramai dalam kalangan kita yang kurang bernasib baik daripada kita. Banyakkan beristigfar, berselawat kepada Rasulullah SAW, berdoa memohon rahmat serta perlindungan daripada Allah SWT. Teruskan beribadah, membaca al-Quran tanpa berputus asa sehingga datang rasa kemanisannya. Yakinkan di dalam hati, sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Allah tidak akan mensia-siakan hamba-Nya yang sentiasa mengharap serta menyerahkan diri kepada-Nya. 

Di samping itu, lazimilah majlis ilmu dan bergaul dengan orang-orang yang soleh. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 185

message user image