BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

PERTANYAAN BERKAITAN KAEDAH RAWATAN DARI PUSAT RAWATAN JARAK JAUH TABIB ADAM MELAKA

Assalamualaikum wbt
Untuk makluman, ramai dalam kalangan saudara terdekat saya sering mengambil rawatan di Pusat Rawatan Tabib Adam Melaka. Namun setelah saya lihat cara rawatannya, dilihat ia tidak menggunakan ayat al-Quran dan cara rawatannya menimbulkan keraguan.

Tabib Adam ini rajin membuat rakaman rawatan di live tiktok serta mempunyai channel youtube sendiri dan pesakitnya ramai dari semua negeri. Mengapa tiada arahan penutupan atau adakah Jabatan Mufti akan memfatwakan pengharaman?

Seandainya Tabib Adam ini terus berleluasa, akidah umat Islam akan lebih ramai terpesong.

Jazakallahu kheir


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Untuk makluman, kaedah rawatan jarak jauh adalah diharuskan sekiranya terdapat keuzuran dan kepayahan dari sudut keengganan pesakit untuk datang mendapatkan rawatan akibat daripada masalah dan penyakit yang dihadapi seperti masalah gangguan, terkena sihir sehingga menyukarkan pergerakan atau boleh mendatangkan kecederaan jika bersama dengan orang ramai dan lain-lain lagi. Kaedah rawatan jarak jauh ini boleh dilakukan dalam keadaan langsung di mana perawat dan pesakit saling berhubung dan mendengar antara satu sama lain melalui penggunaan alat telekomunikasi seperti telefon. Ini bermakna semasa rawatan sedang dilakukan wujud perhubungan langsung antara pesakit dan perawat serta ia dilakukan dalam keadaan kedua-dua pihak sedar. Walaupun begitu, dari sudut pelaksanaan kaedah ini, perawat perlu menggunakan kaedah ruqyah al-shar‘iyyah dan menggunakan kaedah rawatan yang dibenarkan serta menghindari daripada menggunakan jampi yang mengandungi unsur syirik dan pemujaan kepada selain Allah serta bahan-bahan yang diharamkan seperti najis, benda-benda yang kotor, busuk, menjijikkan dan sebagainya lagi.

Namun demikian, kaedah ini boleh jadi diharamkan sekiranya  menggunakan perantaraan makhluk halus. Para perawat Islam yang melakukan proses perubatan seperti ruqyah atau sebagainya, perlu mematuhi syarat-syarat sebagaimana disepakati ulama yang dinukilkan oleh Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, iaitu:

  • Ruqyah hendaklah dilakukan dengan menggunakan firman Allah SWT atau dengan nama-nama dan sifat-sifatnya.

  • Ruqyah hendaklah dilakukan dengan menggunakan bahasa Arab atau sesuatu bahasa selain bahasa arab yang difahami maknanya.

  • Hendaklah meyakini bahawa ruqyah itu tidak memberikan pengaruh dengan sendirinya tetapi hanyalah dengan izin Allah SWT.

Berkenaan rawatan Tabib Adam, Jabatan Mufti Negeri Selangor setakat ini dimaklumkan bahawa ia dalam pemantauan pihak Jabatan Agama Islam Melaka dan kajian mengenainya telah diangkat ke Jabatan Mufti Negeri Melaka untuk tindakan selanjutnya. Berdasarkan penelitian kami, Tabib Adam telah didakwa di mahkamah di atas kesalahan menghina Jabatan Agama Islam Melaka pada bulan Jun 2023.

Sila rujuk laman berikut: https://www.utusan.com.my/nasional/mahkamah/2023/06/tabib-adam-tak-mengaku-kaitkan-jaim-dengan-dajal/

 والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 366

message user image