Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Aslm.Saya ada pertanyaan.Satu hari saya terlintas di hati kalau saya tidur saya keluar islam.Tetapi saya tidak melafazkannya.Saya terus beristighfar.Saya takut ianya perkara taklik.Kadangkala hati saya selalu doa perkara yang buruk.Saya tidak melafazkan perkara tersebut di mulut.Seperti kalau aku mati aku keluar islam.Selepas itu saya terus mengucap dan berdoa supaya perkara itu tidak berlaku.Adakah itu dikira taklik dan bolehkah ianya ditarik balik?Adakah jika saya bertaubat akan diterima oleh Allah.Perkara ini membuat saya resah dan gelisah.Atau kemungkinan saya mempunyai masalah mental?Mohon pencerahan.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Secara asasnya sebarang bentuk keraguan dalam soal keimanan atau akidah, ia boleh merosakkan akidah seseorang. Ini kerana keyakinan akidah Islam mestilah dalam bentuk keyakinan yang seratus peratus yakin, tidak boleh wujud sedikit pun perasaaan syak, waham dan zan. Walau bagaimanapun, hati seseorang tidak mampu untuk mengelak daripada lintasan-lintasan dan bisikan-bisikan syaitan yang mugkin bertentangan dengan iman. Kadang-kadang ia timbul secara tidak disangka-sangka dan bukan sengajakan.
Dalam hal ini, jika keraguan itu berpunca daripada lintasan-lintasan di dalam hati atau bisikan-bisikan syaitan yang mengganggu, maka ia tidaklah membatalkan iman selagimana ia tidak mempengaruhi iman seseorang secara zahir seperti melafazkan perkataan mengaku kufur atau menyembah selain Allah secara zahir dan sebagainya. Ia sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي مَا وَسْوَسَتْ بِهِ صُدُورُهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَكَلَّمْ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku apa yang diwaswaskan dengannya di dalam hatinya selagimana dia tidak melakukan atau mengatakan (apa yang diwaswaskan). (Riwayat al-Bukhari)
Imam Nawawi mengatakan bahawa lintasan-lintasan dan kata-kata di dalam hati, jika ia tidak menjadi tetap dan berterusan di dalam hati, maka orangnya diampunkan oleh Allah SWT dengan kesepakatan para ulama. Ini kerana dia tidak mempunyai pilihan ketika ia terjadi dan tiada jalan baginya untuk mengelak. Imam Nawawi juga menegaskan selagimana lintasan-lintasan hati itu tidak menjadi tetap seperti kekufuran dan lain-lain yang berlaku tanpa disengajakan lalu segera dijauhi dengan taubat dan istighfar, maka dia tidak menjadi kafir.
Tindakan tuan untuk segera bertaubat, beristighfar serta segera melafazkan dua kalimah syahadah adalah tindakan yang betul dan tepat. Semoga doa dan tindakan yang tuan laksanakan ini akan mendapat keberkatan dari Allah SWT serta diberikan kekuatan untuk melawan bisikan-bisikan atau lintasan-lintasan tersebut.
والله أعلم بالصواب
Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 123