BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, sejak kebelakangan ini saya selalu seakan akan dihantui kalimah "murtad" dan di bulan puasa ni saya sering risau bagaimana seperti "macam mana kalau aku dh murtad time puasa ni, puasa aku ni sah ke?" dan pernah juga terlintas seperti "kalau aku solat, aku murtad" sedang solat itu wajib, saya mengucap syahadah banyak kali tapi masih terfikir "macam mana klu aku solat esok aku jatuh murtad? dah lah bulan puasa, sah ke puasa aku esok?" saya mengulangi syahadah saya tetap juga fikiran seperti ini masih lalu di fikiran dan membuatkan saya takut untuk solat pada esok hari dan saya tertanya juga di bulan puasa ni kan syaitan diikat tapi kenapa masih boleh terkena was was? saya sendiri pun tidak tahu sama ada itu syaitan ataupun saya sendiri sebenarnya yang menyebabkan saya sampai berfikiran yang melampau. Harap dapat dijwab, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته        

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Lintasan hati merupakan satu keadaan yang berlaku kepada ramai orang, malah mungkin semua orang. Bezanya dari segi mengawal dan mengurus lintasan hati yang bersifat negatif seperti yang saudari alami. Untuk itu saudari perlu berusaha “melawan” lintasan-lintasan tersebut dengan cara antaranya;

i. Sentiasa berzikir kepada Allah SWT serta berdoa agar dihilangkan perasaan negatif tersebut.

ii. Tidak “melayan” serta abaikan lintasan-lintasan tersebut.

iii. Sibukkan diri dengan kerja-kerja kebajikan/ ibadah serta elakkan berada bersendirian dalam tempoh yang panjang.

iv. Dapatkan rawatan dan nasihat kaunselor bertauliah.

Lintasan yang tidak dengan kehendak saudari, tidak diambil kira dari segi hukum, dan tidak berlakulah hukum murtad kepada saudari. Ia tidak menjadikan solat atau puasa saudari terbatal.

Detikan di dalam hati semata-mata tidak boleh menghukum seseorang itu murtad jika tidak dilahirkan dengan percakapan atau perbuatan. Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إن الله تجاوز عن أمتي ما حدثت به أنفسها ما لم تعمل أو تتكلم

Maksudnya: Allah akan mengampuni umatku atas apa yang dia bicarakan dalam hatinya, selama dia tidak melakukan atau menyatakannya. (Riwayat al-Bukhari)

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 132

message user image