BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Betul ke kalau perempuan sudah berkahwin, memang seboleh-bolehnya kena kurangkan berjumpa dgn kawan-kawan? Saya seorang yang extrovert jugak, suka berkawan, suka keluar dgn kawan-kawan buat aktiviti dan saya ada circle of friends yang berlainan. Saya baru 3 tahun berkahwin tapi setahun LDR sebab saya sambung belajar di luar negara & baru balik September lepas. Suami saya memang opposite saya, seorang yang introvert dan muda 3 tahun dari saya. Saya bersyukur sebab dia tak pernah kongkong/halang saya kalau saya nak keluar berjumpa kawan-kawan (kadang-kadang dia join, kadang-kadang tidak, ikut mood dia). Tapi mak ayah saya selalu tegur dan marah saya sebab nampak saya macam lebihkan kawan-kawan (pada mereka saya membawa perangai dari bujang), sedangkan saya memang jaga rumahtangga saya, jaga hati suami sebaik boleh. Kalau dia tak bagi saya ikut je. Saya memang make sure dia okay kalau saya nak keluar. Contohnya sebelum keluar, saya make sure makanan dia dah siap masak. Saya pun tidaklah setiap minggu keluar dan cuba untuk tidak lama berada di luar. Sebab saya fikir kami belum ada anak, jadi tak nak sia-siakan masa jugak. Yelah sebab bila dengan suami lain, bila dengan kawan-kawan lain. Kami pun selalu je dating, cuma parents saya tak tahu sebab saya jarang post di sosial media sebab suami tak suka (parents follow di IG). Sebab saya sayang friendship kami esp. yang dari sekolah, uni, jadi kalau boleh nak cuba jaga jugak slps family. Cuma ayah saya cakap, bila orang sebut jaga silaturrahim, bukan jaga hubungan dengan kawan, tapi hubungan dengan keluarga sebab rahim tu bermaksud orang-orang yang berkongsi rahim ibu. Kawan-kawan tu nanti lama-lama akan tinggalkan kita jugak. Salah ke apa yg saya buat? Sebab kalau memang salah, saya akan cuba kurangkan. Saya harap pihak mufti dapat bagi pandangan & nasihat. Terima kasih banyak.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Islam sangat menganjurkan umatnya untuk sentiasa menjalinkan hubungan silaturahim ini kerana seseorang yang menjalinkan silaturahmi maka ikatan kekeluargaan atau kerabar akan lebih luas dan akrab, serta mungkin dapat berkongsi masalah serta mampu untuk saling bantu membantu ke arah yang lebih baik dalam kehidupan ini.

Berdasarkan pandangan para ulama, maksud silaturrahim adalah menyambung hubungan antara kaum kerabat sama ada melalui garis keturunan atau melalui perkahwinan dengan pelbagai cara seperti mengunjungi mereka, memberi bantuan kepada mereka ketika memerlukan, mengambil cakna akan hal keadaan mereka dan seumpamanya. Adapun hubungan sesama kawan adalah atas dasar hubungan persahabatan.

Sebuah hadis daripada Abu Ayyub al-Ansari R.A, Rasulullah SAW pernah ditanya berkenaan amalan yang dapat memasukkan ke dalam syurga, lalu Baginda SAW menjawab:

تَعْبُدُ اللَّهَ لاَ تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا ، وَتُقِيمُ الصَّلاَةَ ، وَتُؤْتِى الزَّكَاةَ ، وَتَصِلُ الرَّحِمَ

Maksudnya: Sembahlah Allah dan jangan melakukan syirik pada-Nya, dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan jalinlah tali silaturrahim. (Riwayat al-Bukhari)

Menurut Al-Hafiz Ibnu Hajar perkataan Al-Rahim (الرحم) dalam hadis di atas secara umum adalah dimaksudkan kepada kaum kerabat dekat. Antara mereka terdapat garis keturunan (nasab), sama ada berhak mewarisi atau tidak, dan sebagai mahram atau tidak. Menurut pendapat lain, mereka adalah daripada mahram (kerabat dekat yang haram dinikahi) sahaja. 

Di dalam hadis daripada Anas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda tentang keutamaan menjalin serta menyambungkan silaturrahim:

«مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ عَلَيْهِ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ»

Maksudnya: Sesiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaknya ia menyambung silaturahim (kekerabatan).

Adapun dalam bersahabat, menjaga ikatan dan hubungan persahabatan adalah dianjurkan juga dalam Islam walaupun setelah seseorang itu berumahtangga, namun harus diingat bahawa setelah berkahwin, suami atau isteri telah ditetapkan oleh Islam dengan tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan kepada pasangan masing-masing. Jadi, walaupun suami atau isteri ingin berjumpa atau bersosial dengan kawan-kawannya, tanggungjawab dan amanah sebagai suami atau isteri jangan sampai diabaikan atau tidak sempurna pelaksanaannya. Jagalah batas-batas adab pergaulan semasa bersama kawan-kawan jangan sampai menimbulkan fitnah terhadap rumahtangga dan hadkan lah masa yang sesuai, agar masa bersama keluarga itu lebih banyak dan berkualiti. 

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 20

message user image