BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya baru kehilangan suami pada 29/2/24. Saya ingin bertanya, bolehkah saya pulang ke kampung, Pahang pada hari raya nanti? Ini kerana, anak2 saya ingin balik ke kampung. Saya mempunyai 4 org anak yg masih di bawah jagaan saya. Mereka ingin pulang ke kampung kerana di sini saya tiada sesiapa. Saya juga baru kehilangan ibu dan ini merupakan kali pertama saya beraya tanpa ibu bapa. Oleh itu, adik beradik saya bercadang untuk berkumpul di kampung. Saya bercadang ingin balik pada hari kedua dan kembali semula ke Selangor pada raya ke 3 sekadar untuk gembira kan anak2 saya sahaja tanpa pergi ke mana mana. Hanya berada di rumah ibu bapa saya sahaja. Tapi saya keliru sebab masih dalam iddah. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Batasan Hukum Semasa Dalam Tempoh `Iddah Kematian Suami

Wanita yang kematian suami, tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja.  Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang keperluan asasi (sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam. 

Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya tertakluk pada waktu siang dan tidak pada waktu malam. Namun pengecualian diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor, jururawat dan sebagainya.

Bagi larangan bermusafir ia termasuk larangan untuk menunaikan ibadat fardu haji dan umrah.

Mereka juga dilarang berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal sepanjang tempoh perkahwinan. Namun sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda seperti banjir, tanah runtuh, gempa bumi dan sebagainya mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut sehinggalah bahaya atau kemudaratan tersebut hilang atau dapat diatasi.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, puan tidak dibenarkan untuk tidak tinggal di rumah yang pada kebiasaan puan tinggal melainkan dalam keadaan darurat atau terdesak. Oleh yang demikian, bagi merungkai persoalan puan, mungkin puan boleh berbincang dengan adik beradik yang lain, untuk menyambut hari raya di rumah puan, ini bagi meraikan anak-anak puan yang mungkin akan rasa gembira bila bersama saudara mara mereka. Sudah pasti puan, adik beradik serta keluarga puan memahami ketetapan hukum syara ini dan berusahalah untuk mencari solusi yang terbaik kepada semua pihak, tanpa mengenepikan ketetapan hukum yang telah ditetapkan tersebut. Semoga dengan kefahaman dan ketaatan kita terhadap perintah Allah S.W.T dan ketetapan hukum syara ini, Allah S.W.T akan mempermudahkan urusan puan sekeluarga dan dikurniakan keselamatan di dunia dan akhirat.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 16

message user image