BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum WBT tuan mufti. 

Saya ada satu soalan atau kemusykilan yang tiba-tiba bermain di fikiran.

 

Sebagaimana yang kita tahu, wahyu diturunkan oleh melalui Malaikat Jibril ke Rasullulah SAW mengikut situasi yang berlaku pada masa tersebut. Dan penurunan ayat juga bukan lah mengikut susunan di dalam al-Quran sebab kita tahu wahyu pertama adalah Iqra'. Dan kita tahu Saidina Abu Bakar yang mengumpulkan para hafiz dan Saidina Umar yang membukukan al-Quran. Jadi soalan saya:-

1) Bagaimana mereka susun ayat-ayat suatu surah itu menjadikan satu surah? Sedangkan Allah tidak turunkan ayat tersebut sekali turun, bukan? Apakah yang menjadi pertimbangan sahabat ketika itu?

2) Apa pula pertimbangan sesuatu juzuk itu ditentukan?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan:

1. Pengumpulan al-Quran al-Karim ini berlaku kerana sebahagian besar para huffaz dan qurra' telah syahid pada peperangan Yamamah. Lantaran daripada peristiwa tersebut, para Sahabat mengambil langkah inisiatif untuk mengumpulkan kesemua ayat al-Quran dan membukukannya.

Berdasarkan persoalan di atas, para ulama bersepakat bahwa susunan ayat yang terdapat pada mushaf sekarang ini adalah bersifat tauqify yakni terdapat ketetapan yang dibuat oleh Allah SWT. Kesepakatan ini berdasarkan kepada beberapa riwayat yang menunjukkan penetapan Nabi tentang urutan/susunan daripada ayat al-Qur’an. Hal ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Uthman bin Abi al-'As bahawa Nabi SAW bersabda:

كُنْتُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَالِسًا إِذْ شَخَصَ بِبَصَرِهِ ثُمَّ صَوَّبَهُ حَتَّى كَادَ أَنْ يُلْزِقَهُ بِالْأَرْضِ، قَالَ: ثُمَّ شَخَصَ بِبَصَرِهِ فَقَالَ: «أَتَانِي جِبْرِيلُ فَأَمَرَنِي أَنْ أَضَعَ هَذِهِ الْآيَةَ بِهَذَا الْمَوْضِعِ مِنْ هَذِهِ السُّورَةِ» {إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ}

Maksudnya: Aku sedang duduk di samping Rasulullah SAW, tiba-tiba pandangannya menjadi tajam lalu kembali seperti semula, kemudian Baginda bersabda, Jibril telah datang kepadaku dan memerintahkan agar aku meletakkan ayat ini daripada surah ini, "Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya." (Riwayat Ahmad)

Hadis ini menjadi isyarat bahawa susunan ayat-ayat al-Qur’an adalah secara  tauqifiy yang datang daripada Nabi SAW sesuai dengan perintah serta petunjuk daripada Allah SWT. Di samping itu juga, Imam al-Zurqaniy meletakkan pertimbangan lain yang menjelaskan susunan dan urutan ayat itu bersifat tauqifiy seperti bacaan Nabi SAW ketika menunaikan solat yang meletakkan susunan ayat-ayat al-Qur’an ketika membacanya, atau ketika Baginda menyampaikan khutbah Jumaat. (Manahil al-Irfan fi 'Ulum al-Quran)

2. Adapun berkenaan pembahagian juz pula, pembahagian 30 juz al-Qur’an ini dimulakan oleh Al-Hajjaj bin Yusuf As-Thaqafi. Hal ini kerana masyarakat awam pada saat itu merasa kesulitan untuk mengkhatamkan al-Qur’an dalam waktu satu minggu seperti yang diamalkan oleh para sahabat Rasulullah SAW. Maka Al-Hajjaj bin Yusuf membahagikan Al-Quran menjadi 30 juz berdasarkan pertimbangan jumlah huruf di dalam Al-Quran. (Majmu' al-Fatawa)

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 137

message user image