BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Saya terbaca sebuah hadis Rasulullah s.a.w. ada menyatakan bahawa: Sesungguhnya Allah melihat pada malam Nisfu Sya'ban kemudian mengampunkan semua makhlukNya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan. - [HR Ibn Majah 1380].

Soalan saya adalah:

1. Adakah benci kepada seseorang dikira musuh? Mengikut Dewan Bahasa, perkataan benci bermaksud satu perasaan tidak suka. Manakala perkataan musuh bermaksud orang yang ditentang, lawan atau seteru (dalam peperangan, perkelahian, pertandingan, dll). 

2. Adakah Allah tidak memaafkan dosa saya sekiranya saya ada membenci orang? 

3. Adakah Rasulullah s.a.w. pernah membenci seseorang? Jika ada, bagaimanakah akhlak Rasulullah s.a.w. kepada orang yang dibenci Baginda?

Mohon pencerahan. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan;

Pertama berkenaan dengan persoalan adakah benci dikira bermusuhan. Seperti yang telah dinyatakan benci adalah suatu perasaan individu tidak suka kepada sesuatu. Berbeza pula dengan bermusuhan kerana musuh adalah orang yang ditentang atau dilawan. Setiap musuh pasti dibenci. Akan tetapi, tidak semua orang yang dibenci pasti dimusuhi. Ini kerana benci merupakan sifat semula jadi bagi manusia. Para ulama hadis seperti Imam al-Nawawi dan Mula Ali al-Qari ada menyatakan bahawa sifat marah mahupun benci merupakan sifat semula jadi manusia.

Berkenaan soalan kedua pula, seperti yang disebutkan dalam hadis "Sesungguhnya Allah SWT melihat pada malam Nisfu Sya'ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan", perlu kita fahami hadis tersebut bahawa Allah SWT tidak mengampuni dosa-dosa golongan yang mensyirikkan Allah dan orang yang bermusuhan. Jelas disebutkan yang tidak mendapatkan pengampunan Allah SWT adalah mereka yang bermusuhan bukan pula orang yang ada perasaan benci. Yang dimaksudkan bermusuhan pada hadis adalah mereka yang bermusuhan kerana nafsu bukan pula kerana agama, sehingga boleh menyakiti sesama muslim (rujuk Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih). Walaubagaimanapun, pengampunan Allah adalah kehendak dan redha daripada Allah SWT . Jika Allah SWT mengkehendaki seseorang diampunkan dosanya maka ia akan diampunkan atas dasar rahmat Allah SWT . Adapun perasaan benci kita adalah perkara semula jadi yang ada pada setiap diri manusia. Selagi kita tidak bermusuhan, tidak memutuskan hubungan persaudaraan dan juga tidak menyakiti sesiapa, maka perasaan benci kita dimaafkan in sha Allah.

Berkenaan soalan ketiga pula, perlu difahami bahawa benci Rasulullah SAW itu adalah kerana agama bukan kerana isu peribadi. Ini kerana keindahan akhlak Nabi SAW yang mudah memaafkan seseorang. Contoh seperti yang terdapat dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Mas'ud al-Ansari beliau berkata:

"Seseorang telah berkata kepada  Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, aku hampir tidak dapat menunaikan solat kerana seseorang imam yang memanjangkan solat bersama kami. Kemudian kata Abu Mas'ud: Aku tak pernah melihat Nabi SAW semarah itu sejak daripada itu. Sabda Nabi SAW: Wahai sekalian manusia, sesungguhnya kalian menjauhkan orang lain daripada agama Islam. Maka sesiapa yang menjadi imam maka hendaklah ia ringankan solatnya". (Riwayat al-Bukhari)

Ini adalah contoh Nabi SAW marah disebabkan urusan agama iaitu kepada para imam yang memanjangkan solat berjemaah sehingga mendatangkan kesukaran kepada jemaah.

والله أعلم بالصواب

 

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 125

message user image