BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya seorang Penulis yang banyak berkongsi tentang teknologi dan mempunyai sekitar 365,000 Pengikut di akaun X (Twitter). Saya ingin mendapatkan penjelasan daripada Tuan/Puan berkenaan hukum membeli/melanggan waranti. Jawapan ini dapat saya kongsi kepada semua warga maya:

Soalan 1

Kebanyakan peralatan elektronik terutama telefon pintar, komputer riba, jam pintar dan lain-lain menawarkan waranti selama 12 bulan. Waranti ini tidak melindungi isu berkait KECUAIAN MANUSIA. Oleh yang demikian, Penjual Berdaftar (AAR) / kedai elektronik telah menawarkan Pelan Pelindungan yang membolehkan pembeli menambah sewaktu membeli produk tersebut.

Contoh,

Ali membeli iPhone, dan kedai menawarkan Pelan Pelindungan tambahan dengan membayar RM200 untuk jaminan setahun. Pelan Pelindungan ini menjamin sebarang kerosakan disebab KECUAIAN MANUSIA. Ali perlu melanggan pelan ini sewaktu membeli iPhone tersebut.

iPhone 13 : RM3,599 + RM200 (Pelan Pelindungan) - dibayar sewaktu pemnbelian

Jika pelan pelindungan tersebut berkonsepkan Takaful adakah sah?

Jika pelan pelindungan tersebut berkonsepkan konvensional adakah sah?

 

Soalan 2

Masih berkisar (contoh 1). Terdapat pelan pelindungan yang menawarkan tambahan Pelan Pelindungan untuk tahun seterusnya (kedua). Adakah dibenarkan?

Contoh,

Setelah setahun Ali menggunakan iPhone, tiada tuntutan dibuat. Disebabkan mahu mengelakkan kejadian yang tidak diingi seperti iPhone pecah dan kos gantian amat tinggi. Ali telah membayar Pelan Pelindungan untuk tahun kedua.

Adakah tindakan Ali sah?

 

Soalan 3

Terdapat juga kedai yang menawarkan pembelian Pelan Pelindungan dalam tempoh 60 hari selepas pembelian. 

Contoh,

Abu membeli iPhone 13, dalam tempoh sebulan menggunakan iPhone 13, dia telah membayar RM500 untuk menambah Pelan Pelindungan disebabkan tempoh membeli Pelan Pelindungan berbaki 30 hari lagi.

Adakah Abu boleh membeli tambahan waranti tersebut selepas sebulan membeli iPhone? Pelan ini menawarkan pelindungan atas KECUAIAN MANUSIA.

 

Terima kasih,

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Dibenarkan menjual barang bersama dengan waranti servis baik pulih dalam tempoh tertentu atau disebut standard warranty. Ini termasuk dalam bab al-Wa`d atau bab mensyaratkan manfaat bagi pembeli. Kedua-duanya adalah diharuskan.

Tetapi jika membeli kad jaminan atau extended warranty yang berasingan daripada barang seperti seseorang membeli barang tanpa waranti lalu membeli waranti, atau membeli satu barang yang sudah tamat warantinya kemudian membeli waranti baru, Ini adalah tidak harus kerana mengandungi gharar. Ini kerana dia membeli atau membayar suatu yang bersifat mungkin dan tidak tentu; sama ada dia memperoleh manfaat daripada servis baikpulih tersebut atau mungkin tidak dapat.

Kebanyakan ulama kontemporari memutuskan ia haram. Ini kerana pembelian tersebut melibatkan ketidakpastian sama ada sesuatu yang dibeli itu ada atau tidak atau berlaku atau tidak. Dengan kata lain, kerosakan adalah suatu yang tidak pasti akan berlaku, namun bayaran sudah dibuat. Inilah dipanggil ketidakpastian atau gharar dan perjudian atau qimar, satu bentuk judi yang diharamkan. Asasnya seperti insuran konvensional. Justeru, jika dilakukan atas konsep takaful, maka dibenarkan.

Berdasarkan ketiga-tiga situasi adalah dalam kategori extended warranty  yang mana ia adalah diharamkan sebagaimana sebab-sebab di atas. Pengharaman ini sama kaedahnya sebagaimana haramnya insurans disebabkan gharar (ketidakpastian) dan qimar (perjudian). Adapun sekiranya ia didasari dengan takaful, maka diharuskan atas aqad tabarruq.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 980

message user image