BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan, saya ada beberapa soalan berkaitan najis dan perubahan air.

  1. Jika selepas kencing, saya terus membasuh kemaluan dengan menghalakan air paip tanpa mengelap dahulu, apakah hukum pada air basuhan tersebut? Adakah air basuhan tersebut dikira mutanajjis? Air basuhan tersebut semestinya akan jatuh ke lantai tandas dan mengalir,adakah ini bermaknya lantai tandas juga menjadi najis dibebabkan aliran air dari basuhan tadi?
  2. Air mutanajjis yang tiada perubahan pada bau warna dan rasa, hanya menjadi mutanajjis kerana masuk najis kedalam bekas air tersebut. Adakah air mutanajjis ini dianggap najis hukmiyyah atau ainiyyah?
  3. Saya sedia maklum bahawa air yang telah digunakan untuk menyucikan najis hukmiyah menjadi air musta'mal setelah ia terpisah dan air musta'mal suci tetapi tidak menyucikan. Jadi, bagaimana jikalau dalam situasi berikut:
  • Saya telah baring/meniarap di atas tilam/karpet yang sememangnya sangat diyakini terdapat najis hukmiyah dalam keadaan badan yang berpeluh. dalam situasi ini saya sangat yakin telah tersebar najis hukmiyah tersebut pada badan dan muka saya. kemudian, sewaktu saya ingin membersihkan najis hukmi itu, saya membasuh muka dahulu ketika badan belum di basuh. Ketika membasuh muka, air dari muka telah menitik dari dagu dan jatuh pada badan saya yang masih bernajis hukmi dan kemudiannya mengalir ke bahagian badan yang lain. Persoalannya, adakah air yang menitik tersebut air musta'mal dan jika ya, apa yg terjadi selepas ia jatuh dia atas badan yang bernajis tadi, adakah ia berubah pula kepada air mutanajjis setelah bercampur najis hukmi dan terus membawa najis tersebut ke bahagian badan yang lain kerana ia mengalir? Atau ia hanya tidak menyucikan bahagian badan bernajis tadi tanpa membawa najis ketika ia mengalir?


message user image

Jawapan  

 وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Menjawab solan yang diajukan:

1. Air basuhan kemaluan adalah bernajis selagimana pada kemaluan itu masih bernajis. Namun sekiranya pada kemaluan itu telah bersih dari kesan najis, maka air masuhan kemaluan itu adalah suci. 

Air basuhan yang bernajis apabila mengalir di atas lantai membawa najis ke lobang air tidak menjadikan lantai itu menjadi bernajis melainkan najis itu berhenti di atas lantai dan kering. Seandainya najis itu mengalir bersama air dan masuk ke dalam lobang air, maka kawasan yang dilalui najis itu tidak menjadi bernajis melainkan terdapat kesan najis seperti warna, bau atau rasa. Sama keadaannya jika air basuhan itu terkena pada dinding atau anggota badan.

2. Najis yang masuk ke dalam bekas atau takungan yang mengandungi air kurang dari 2 kolah (200 Kg atau bersamaan lebih kurang dengan 200 Liter) menjadikan air di dalam bekas itu menjadi air mutanajjis, sama ada berubah atau tidak salah satu dari sifat air seperti warna, bau atau rasa. Air mutanajjis itu dinamakan sebagai najis aini.

Sekiranya air di dalam bekas itu melebihi 2 kolah, maka air di dalam bekas itu tidak menjadi mutanajjis melainkan sekiranya berubah salah satu daripada sifatnya seperti warna, bau atau rasa.

3. Najis hukmi bermaksud tempat atau sesuatu yang diyakini terkena najis, namun kesan najis itu telah hilang sama ada dari segi warna, bau atau rasa. Kesan najis itu hilang sama ada dengan sendirinya seperti air kencing yang telah kering, atau ain najis itu telah dihilangkan dengan menggunakan bahan seperti tisu basah sehingga hilang kesan warna, bau dan rasa, namun tidak dialirkan padanya air mutlak. 

Memandangkan kesan najis sama ada warna, bau atau rasa telah hilang, maka tempat atau sesuatu itu tadi adalah bersih, namun ia tidak suci. Apabila dialirkan air mutlak ke atasnya, maka tempat atau sesuatu itu tadi menjadi suci. Manakala air yang dialirkan itu menjadi mustakmal, dan tidak menjadi air mutanajjis.  

Begitu juga halnya sekiranya menyentuh tempat atau sesuatu itu tadi dengan tangan yang basah, dan tangan yang basah itu menyentuh sesuatu yang lain, maka sesuatu yang lain itu tidak menjadi mutanajjis, kerana tidak terdapat kesan najis yang berpindah. 

Merujuk kepada situasi yang dinyatakan, air yang mengalir untuk membasuh muka kerana terkena najis hukmi, tidak dianggap sebagai bernajis. Air basuhan itu adalah air musta'mal, yang mana ia suci tapi tidak mensucikan.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 37

message user image