BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, ribuan terima kasih saya ucapkan kerana menjawab persoalan saya sebelum ini. Dengan jawapan itu sedikit sebanyak telah menghilangkan kegusaran saya dalam keberkatan hasil yang saya terima . Namun ada sedikit soalan tambahan . 

 

1) Bagaimanakah pula jika pegawai bank yang menguruskan pinjaman perumahan islamic itu seorang yang non muslim , contohnya berdasarkan pengalaman sendiri , saya membeli rumah menggunakan pinjaman islamic, ketika nak sign letter offer bank dan agreement pegawai bank berbangsa cina bukan islam yang uruskan semasa itu . Seingat saya tiada bacaan lisan akad dari dia , cuma ada diterangkan didalam document itu dan dia menerangkan sedikit sebanyak nak maklumat pinjaman itu merupakan pinjaman islamic , adakah sah dari segi syarak ? 

 

2) Didalam budaya kerja ejen hartanah ni , kami ada mengamalkan perkongsian hasil komisyen yang diterima dari urusan jual beli . Contoh jika saya jumpa seorang owner rumah yang nak jual rumah saya akan kongsikan beberapa maklumat tentang rumah tersebut kepada group atau kenalan kenalan ejen hartanah lain untuk sama sama bantu cari pembeli . Jika rumah itu saya sendiri yang berjaya dapat kedua dua belah pihak yang nak jual dan beli , saya akan uruskan proses mengikut kaedah yang dibenarkan dan mengikut syarak . Tetapi jika saya hanya berjaya dapat cari owner sahaja , dan pembeli dari ejen lain lebih lebih lagi ejen dan pembeli non muslim (bermakna saya hanya boleh uruskan urusan untuk pihak owner sahaja) mereka menggunakan pinjaman konvensional, bagaimana pula ? Adakah berkat hasil komisyen yang saya terima tu ? Boleh ke saya gunakan hasil komisyen tu utk kegunaan kehidupan saya dan keluarga? 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
 

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

1. Secara asasnya diharuskan seorang Islam untuk bermuamalah atau berjual beli dengan orang bukan Islam. Hukum seorang pegawai bank bukan Islam menguruskan kontrak Pembiayaan Perumahan Patuh Syariah adalah sah dan ia tidak menjejaskan kontrak antara 2 pihak. Apa yang penting di dalam sebuah akad adalah isi dan intipati kepada akad atau kontrak yang ditandatangani kerana kedua-dua pihak akan kembali semula kepada kontrak jika ada sebarang perkara yang perlu dirujuk. Tanggungjawab pembeli adalah membaca dan memahami kontrak yang akan ditandatangani sekalipun ia tidak diterangkan oleh agen atau pegawai bank yang menguruskan kontrak tersebut.

2. Secara umumnya setiap orang hanya akan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT atas amalan yang dilakukannya sahaja tanpa dipertanggungjawabkan atas sesuatu kejahatan atau perkara yang di luar kemampuannya untuk mengawal perbuatan tersebut sebagaimana firman Allah SWt dalam surah al-An'am ayat 164:

وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا ۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ ۚ 

Maksudnya: Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)

Dalam situasi di atas, seseorang itu hanya boleh mengawal hasil yang diusahakan manakala selebihnya apa yang boleh diusahakan adalah dengan menasihatkan rakan agen dan juga pihak penjual atau pembeli agar memilih pembiayaan Islam serta menjauhkan diri dari urusan melibatkan bank konvensional, ia termasuk dalam kewajipan nasihat antara sesama muslim jika pihak-pihak yang terlibat adalah orang Islam. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).

Walau bagaimanapun, dalam konteks menerima upah yang mana pihak penjual menggunakan pembiayaan secara koncensional, bagi pihak tuan ia adalah diharuskan kerana tuan tidak terlibat secara langsung dalam proses atau urusan tersebut.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 55

message user image