BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz..saya ingin bertanya soalan..pada minggu lepas ada tetamu datang ke rumah saya..pampers anak beliau kebocoran sehingga menyebabkan air kencing terkena karpet rumah saya..saya telah memijak air kencing tersebut yang masih basah dengan andaian bahawasanya itu hanyalah air minuman yang telah tumpah..setelah tetamu balik, baru saya dimaklumkan bahawa air yang basah itu merupakan air kencing anak beliau yang kebocoran itu..sedangkan ketika itu saya sudah berjalan keseluruh rumah dalam keadaan kaki yang telah memijak air kencing tersebut..

 

1. Adakah seluruh rumah saya telah menjadi najis?

 

2. Saya telah mengelap kawasan tersebut dengan menggunakan tisu basah dan mengemop seluruh rumah dengan menggunakan 'steam mop' di mana air sentiasa turun dari tangki mop ketika mengemop. Adakan cara ini sudah mensucikan najis tersebut?? Apakah cara yang perlu saya lakukan untuk membersihkan seluruh rumah saya..mohon bantu saya..saya berasa risau dengan keadaan rumah saya dan ibadah yang dilakukan.. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan;

1) Syarak menuntut kita untuk beramal dengan yakin dan menjauhkan perbuatan syak, maka puan hanya dituntut untuk menyucikan tempat yang diyakini berlakunya perpindahan najis tersebut pada kawasan rumah yang dipijak sepertimana bertepatan dengan kaedah fiqah: 

اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكّ

Maksudnya: Keyakinan itu tidak dihilangkan disebabkan oleh syak (ragu-ragu).

Selain itu, Imam al-Qarafi menyebutkan satu kaedah:

الْأَصْلُ أَلَّا يُعْتَبَرَ فِي الشَّرْعِ إِلَّا الْعِلْمُ

Maksudnya: Hukum asal adalah tidak dikira sesuatu itu menurut syarak melainkan dengan ilmu pengetahuan.

Lalu Imam al-Qarafi menyebut lagi bahawa, pada kebanyakan waktu itu agak sukar untuk mengetahui sesuatu secara yakin, maka syarak membenarkan untuk mengikut sangkaan yang kuat kerana kebiasaannya ianya benar berlaku. Adapun syak wasangka, ia kekal mengikut hukum asal sesuatu itu. Maka semua yang hanya atas syak sahaja tidak dikira, dan wajib mengikut hukum asal yang sebelumnya (jika hukum asal suci, kekal suci dan tidak berubah menjadi najis). 

Oleh itu, puan hanya perlu mensucikan tempat yang diyakini terkena najis itu sahaja dengan mengalirkan air mutlak ke atasnya. Sementara itu, sekiranya hanya timbul syak wasangka sahaja, atau tidak pasti tempat di mana keberadaan najis itu, maka tidak dikira telah berpindah pada sesuatu yang asalnya suci, dan tidak perlu membersihkan tempat tersebut. Ini bertepatan dengan kaedah yang dimasyhurkan:

نَحْنُ نَحْكُمُ بِالظَّوَاهِرِ وَاللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ

Maksudnya: Kami hanya menetapkan hukum berdasar yang zahir dan Allah yang menangani perkara yang tersembunyi. (Talkhis al-Habir fi Ahadith al-Rafi‘i al-Kabir)

2) Puan tidak perlu mensucikan keseluruhan rumah. Puan hanya perlu mensucikan tempat yang diyakini terkena najis.

Kaedah mensucikan tempat yang terkena najis mutawasitah seperti air kencing adalah dengan menghilangkan ain najis tersebut dengan menggunakan tisu dan sebagainya sehingga hilang kesan najis seperti warna, bau dan rasa. Kemudian lalukan air mutlak ke atasnya, maka ia menjadi suci.

Sepanjang pengetahuan kami, kaedah steam mop adalah menjadikan air yang dimasukkan ke dalam alat itu menjadi wap panas lalu wap itu dikenakan ke atas permukaan lantai dan pada masa yang sama terdapat mop yang akan mengelap permukaan tersebut apabila ia digerakkan ke hadapan. Pada pandangan kami, kaedah ini hanya dapat membersihkan kawasan yang terkena najis sekiranya hilang kesan najis tanpa mensucikannya. Ini adalah kerana tidak terdapat air mutlak yang dialirkan ke atasnya. Oleh itu, puan masih perlu mengalirkan air mutlak ke atasnya. 

والله أعلم بالصواب

 

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 41

message user image