BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, Alhamdulilah berkat hidayah daripada Allah SWT, saya mulai sedar bahawasanya dosa sesama manusia ini adalah berat. Namun begitu, saya berasa sangat takut pada waktu sekarang kerana minda saya akan bersilih ganti memberi peringatan bahawasanya saya pernah bersalah kepada si fulan setelah meminta maaf kepada si fulan yang lain. Bermaksud setelah saya meminta maaf kepada A, berasa lapang seketika kemudian teringat pula dosa saya kepada B atau perkara lain yang berkaitan dengan A yang tidak saya minta maaf lagi. 

Hidup saya dalam ketakutan sehinggakan saya menjadi kurang fokus kepada kehidupan seharian seperti fokus kepada pelajaran. Saya berasa tenang seketika sewaktu menonton televisyen bersama keluarga namun setelah itu, ketakutan saya kembali lagi. Saya berasa tertekan dengan perkara ini kerana saya seperti hidup di masa yang lalu sahaja, tidak nampak masa hadapan. Saya juga berasa sangat takut akan nasib saya di akhirat kelak kerana menjadi orang yang muflis setelah dituntut pahala saya oleh orang-orang yang pernah saya lakukan dosa yang masih tidak selesai. Saya berasa sangat takut dan seakan hilang semangat untuk masa hadapan.

Apa yang perlu saya lakukan tuan/puan jika ada nasihat dan cadangan yang boleh dipraktikkan agar saya menjadi orang yang kembali bersemangat namun masih menjadi diri daripada dosa kpd manusia dan Allah SWT. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
 

Merujuk kepada soalan yang diajukan, dosa sesama manusia sememangnya sesuatu yang berat dan setiap umat Islam perlu berusaha untuk memohon kemaafan kepada mereka yang pernah disakiti atau seumpamanya demi memastikan kebahagiaan serta ketenangan hidup di dunia dan akhirat. Meskipun ia suatu tanggungjawab yang berat namun, apa yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak adalah sejauh mana usaha yang dilakukan untuk memohon kemaafan. Usaha-usaha ini sudah pasti terikat dengan kemampuan seorang hamba kerana kemampuan manusia adalah terbatas dan terhad. Tugasan kita sebagai hamba adalah melakukan yang terbaik dalam usaha memohon kemaafan daripada orang yang terlibat. Sekiranya seseorang itu sudah melakukan segala yang termampu maka selebihnya mohonlah keampunan dari Allah SWT atas kesilapan dan keterlanjuran yang telah dilakukan, firman Allah SWT:

وَنَضَعُ الْمَوَازِينَ الْقِسْطَ لِيَوْمِ الْقِيَامَةِ فَلَا تُظْلَمُ نَفْسٌ شَيْئًا ۖ وَإِن كَانَ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِّنْ خَرْدَلٍ أَتَيْنَا بِهَا ۗ وَكَفَىٰ بِنَا حَاسِبِينَ

Maksudnya: Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.

Secara umum berdasarkan firman Allah di atas dapat difahami bahawa dengan kasih sayang dan rahmat Allah pasti tiada seorang pun hamba yang akan dianiaya serta dinafikan balasan atas usaha baiknya setelah seorang hamba itu berusaha untuk menebus kesalahannya sesama manusia, apa yang tidak mampu dilakukan mohonlah kepada Allah agar ianya diampunkan. Dengan kasih sayang dan rahmat Allah SWT jugalah seseorang itu diampunkan atas perkara yang tidak mampu dia lakukan.

Perlu diingatkan juga bahawa berfikiran negatif seperti berputus asa adalah sesuatu yang dilarang oleh Allah SWT sebagaimana firman Allah dalam surah Yusuf ayat 87:

وَلَا تَيْأَسُوا مِن رَّوْحِ اللَّهِ ۖ إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِن رَّوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ

Maksudnya: Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir

Rasa sangat takut dan seakan hilang semangat untuk masa hadapan merupakan ciri orang yang putus asa dari rahmat Allah, seorang muslim yang beriman sering diingatkan agar sentiasa mengimbangi rasa takut (خوف)  dan harap (رجاء). Mengimbangi rasa takut dan harap adalah dengan takutkan azab Allah dengan menjalani semua suruhan-Nya dan menjauhkan diri dari semua larangan Allah SWT, tetapi pada masa yang sama berusaha dengan sepenuh hati mengharapkan diampunkan dosa dan seterusnya dimasukkan ke dalam syurga Allah SWT. Adalah dinasihatkan agar sentiasa berfikiran positif dan mendalami ilmu agama dengan guru yang bertauliah dan sebaiknya secara bersemuka agar segala permasalahan yang timbul boleh ditanya terus untuk mendapatkan kepastian.

Antara perkara yang boleh dilakukan adalah dengan sentiasa mendoakan keampunan serta kebaikan kepada orang yang pernah kita zalimi atau sakiti. Di samping itu, digalakkan untuk menghadiahkan pahala amalan kepada mereka seperti pahala puasa, bacaan al-Quran, zikir dan sebagainya, mudah-mudahan dapat menampung kesalahan yang telah dilakukan terhadapnya. 


والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 37

message user image