BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan,

Saya mempunyai soalan. Pada tahun lalu saya mendengar ceramah di media sosial yang mengatakan bahawa umat islam akan diampuni dosanya kecuali kaum mujahir, iaitu orang yang melakukan dosa secara terang-terangan atau menyebarkan aib sendiri. Sebelum itu saya tidak tahu mengenai hal tersebut dan sudah banyak kali juga saya menceritakan dosa saya kepada sahabat saya sendiri. Namun, setelah mengetahui tentang perkara tersebut, saya cuba untuk kurangkan cerita mengenai aib saya kepada kawan saya namun ada beberapa kali juga saya menceritakan dosa saya kepada sahabat saya. Pertanyaan saya ustaz, adakah taubat saya daripada menjadi kaum mujahir ini tidak akan diterima kerana walaupun saya sudah mengetahui mengenai dosa ini, saya masih melakukannya. 


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Berdasarkan soalan yang diajukan, ingin dijelaskan terlebih dahulu bahawa membuka aib sendiri dikira berdosa, walau bagaimanapun dosa tersebut tidak membabitkan pihak lain dan disarankan segera bertaubat. Susungguhnya Allah SWT amat menggalakkan hamba-Nya untuk bertaubat sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Nur ayat 31:

وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

Di samping itu, Imam al-Nawawi ada menyebutkan: “Para ulama berkata, bertaubat dari setiap dosa hukumnya adalah wajib. Syaratnya ada tiga:

(i) menjauhi dan meninggalkan maksiat,

(ii) menyesal kerana telah melakukan maksiat tersebut

(iii) berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat itu selama-lamanya".

Sehubungan itu, sekiranya telah menceritakan aib sendiri kepada orang lain atau melakukan apa sahaja jenis dosa, maka wajiblah segera bertaubat. Namun, sekiranya setelah bertaubat masih melakukan dosa, maka perlulah terus berusaha meninggalkan perbuatan dosa tersebut.

Adapun hadis yang menceritakan berkenaan golongan al-mujahirin adalah merujuk kepada golongan yang menyebarkan aibnya sendiri dengan sengaja atau berbangga. Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda:

كلُّ أُمَّتي مُعافًى إلا المجاهرين، و إنَّ من الجِهارِ أن يعملَ الرجلُ بالليلِ عملًا ثم يُصبِحُ و قد ستره اللهُ تعالى فيقولُ: عملتُ البارحةَ كذا و كذا، و قد بات يسترُه ربُّه، و يُصبِحُ يكشفُ سِترَ اللهِ عنه

Maksudnya: Setiap umatku berada dalam keadaan sejahtera (selamat dari dosa) melainkan al-mujahirin. Sesungguhnya antara perbuatan jihar itu ialah apabila seseorang melakukan kesalahan pada malam hari, kemudian pada pagi hari, dalam keadaan Allah telah menutup kesalahannya tersebut (dari pengetahuan orang ramai), dia menghebahkannya pula dengan berkata: “Aku telah melakukan malam tadi sekian-sekian perbuatan (dosa), sedangkan Tuhannya telah menutup keaibannya itu, namun dia membuka tutupan Allah tersebut darinya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa golongan yang menghebahkan maksiat secara terang-terangan tidak akan mendapat keampunan dari Allah SWT. Golongan ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu, pertama: seseorang itu melakukan maksiat dan dia melakukannya secara terbuka dan kedua: seseorang yang melakukan dosa secara sembunyi kemudian menceritakan dosa itu kepada orang lain.

Justeru, disarankan agar berhenti daripada menceritakan aib sendiri kepada orang lain apatah lagi untuk tujuan berbangga-bangga dan kemudian segeralah bertaubat. InshaAllah, sesungguhnya Allah akan mengampunkan dosa hamba-Nya yang bertaubat. 

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 49

message user image