BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

saya ada pertanyaan mengenai harta pusaka. Arwah ayah saya ada meninggalkan sejumlah wang KWSP dan telah membuat penama atas nama ibu saya. Semasa menyerahkan borang penama tersebut arwah ayah saya ada melafazkan kepada ibu saya " ini wang semua hanya untuk awak sahaja", soalannya adakah wang tersebut perlu difaraidkan atau wang tersebut dah dikira hibah kasih sayang atas segala usaha mereka semasa mereka susah senang ketika hidup. Mohon pencerahan. Sekian terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد

Hibah menurut Islam adalah suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela atau atas dasar kasih sayang terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa mengharapkan balasan. Antara syarat hibah adalah harta itu dimiliki secara sempurna oleh pemilik dengan maksud pemilik mempunyai kuasa penuh menggunakan harta tersebut tanpa sekatan. Ciri pemilikan ini tidak terdapat di dalam simpanan KWSP. Ini adalah kerana pemilik tidak berkuasa terhadap wang tersebut yang menjadikan ia tidak boleh dihibahkan kepada orang lain. Ini bermakna selepas kematian pemilik, wang tersebut menjadi harta pusaka si mati.

Konsep penama yang digunakan oleh pihak KWSP merupakan pentadbir sementara/pemegang amanah caruman KWSP tersebut sekiranya pencarum meninggal dunia dan bukanlah hibah. Adalah menjadi kewajipan pentadbir tersebut untuk membahagiakan wang tersebut secara faraid kepada ahli waris yang berhak.

Berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-49 pada 19 September 2000, wang KWSP adalah harta pusaka yang mesti dibahagikan mengikut hukum faraid dan penama KWSP yang telah dilantik hendaklah membahagikan wang KWSP tersebut mengikut hukum faraid.

Adapun ucapan bapa kepada ibu "ini wang semua hanya untuk awak sahaja", seandainya dianggap sebagai hibah, maka ia tidak sah kerana menghibahkan sesuatu yang tidak di dalam pemilikannya yang sempurna. Seandainya pemilikan itu berkuatkuasa selepas kematian, maka ia termasuk di dalam wasiat, dan wasiat tidak boleh diberi kepada waris. Sebagaimana hadis daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

«إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَعْطَى كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ، أَلَا لَا وَصِيَّةَ لِوَارِثٍ»

Maksudnya: Sessungguhnya Allah SWT telah menentukan setiap yang mempunyai hak (ahli waris) akan mendapat hak mereka. Maka, tidak ada wasiat kepada ahli waris.  

Walau bagaimanapun, wasiat tersebut boleh dilaksanakan sekiranya mendapat persetujuan daripada seluruh ahli waris dengan syarat-syarat tertentu.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 31

message user image