BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t,

Saya ingin bertanya mengenai hak berkaitan pusaka yang melibatkan memakan hak batil atau tidak. Sewaktu saya masih kecil, arwah nenek, Hajah Halus telah memberi hak tanah kepada saya dan adik beradik yang lain atas dasar kasih sayang (pemberian sama rata) kecuali seorang abang tidak diberikan kerana beliau mendapat bahagian dari datuk saudara yang lain (Abdul Muttalib). Nama kami semua telah dimasukkan di dalam geran tanah dari tahun 1968 lagi.

Sewaktu saya masih kecil, nenek saya membenarkan adik beliau iaitu datuk saudara kami, Abdul Muttalib  mendirikan rumah di atas bahagian tanah saya untuk mereka tinggal disitu sementara rumah yang baru datuk saudara dirikan. Apabila rumah baru datuk saudara telah siap, datuk saudara telah pindah dan membawa abang saya tinggal bersama-sama dengan beliau. Rumah lama mereka tersebut dijadikan rumah sewa untuk membesarkan abang saya. Dahulu orang-orang tua cuma memberitahu secara mulut sepadan bahagain kami sahaja dimana hak kami masing-masing. 

Untuk pengetahuan panel soal jawab Jabatan Mufti, kami adalah anak yatim (ibu telah meninggal sewaktu melahirkan saya dan bapa kurang siuman selepas kematian ibu).Sehinggalah arwah nenek dan datuk saudara kami meninggal, abang saya tetap mengambil sewaan rumah tersebut tetapi dipegang oleh bapa saudara saya (anak nenek). Bapa saudara tetap terus membenarkan abang saya mengutip sewaan tersebut. Saya kurang pasti adakah abang saya tidak tahu bahagian yang didirikan rumah sewa tersebut adalah dalam hak saya atau abang saya tidak mahu mengambil tahu hal tersebut. Secara logiknya jika dilihat mata kasar, rumah sewaan tersebut memang di bangunkan didalam hak tanah saya.

Pada tahun 2017 saya telah merobohkan rumah sewaan tersebut kerana setelah diukur rumah itu adalah di dalam bahagian saya. Semua kos-kos berkaitan rumah tersebut termasuk bil utiliti yang tertungak saya telah jelaskan.

Soalan saya:

1)Adakah abang saya memakan harta batil jika beliau tidak tahu rumah sewaan itu adalah di dalam bahagian tanah saya dari beliau mula kutip sewaan tersebut?

2)Jika abang saya mengambil tindakan seolah-olah tidak mahu mengambil tahu bahawa rumah sewaan tersebut berada di dalam tanah saya, apakah hukumnya? Beliau berpegang bahawa rumah sewaan itu telah diizinkan oleh arwah nenek kami untuk beliau dan datuk saudara mengutip hasil sewaan.

3)Adakah tindakan saya merobohkan rumah sewaan tersebut salah kerana saya sudah mendapat kepastian bahawa rumah sewaan itu di dalam hak saya mengikut undang-undang dunia. Untuk pengetahuan tuan panel, saya ada cuba memberitahu bahawa rumah sewaan itu di dalam hak tanah saya tetapi abang saya tidak mengindahkannya (Ini selepas saya membuat ukuran).

4)Adakah kos-kos meruntuhkan sewaan bangunan tersebut serta bil-bil yang tertunggak, perlu abang saya  membayar balik terutama bil-bil utilitis rumah sewaan tersebut. 

5)Adakah abang saya perlu memohon maaf dan meminta halal  setelah beliau tahu bahawa rumah sewaan yang dikutip selama hari ini (mungkin puluh tahun)  adalah didirikan didalam hak bahaian tanah saya  walaupun dengan alasan beliau memberitahu rumah tersebut telah didirikan oleh datuk saudara untuk beliau dan diizinkan oleh arwah nenek kami. 

Kami berdua sudah menjangkau usia emas dan saya ingin menyelesaikan perkara ini sebelum saya dan abang saya menemui pencipta kami dan disebabkan perkara ini hubungan kami adik beradik agak renggang.

Mohon perjelasan dari pihak pejabat mufti diatas permasalahan saya.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Pemilikan sesuatu harta hendaklah dipastikan terlebih dahulu. Dalam Islam, pemindahan pemilikan sah sama ada secara lisan atau bertulis. Berdasarkan situasi yang diterangkan, pemilikan rumah itu berlaku secara lisan dan dalam geran secara bertulis. Maka, rumah tersebut perlulah dibahagi mengikut pembahagian yang ditetapkan oleh tuan rumah yang asal iaitu arwah nenek.

1) Jika abang tidak tahu berkaitan perkara tersebut, maka ia tidak termasuk dalam situasi memakan harta secara batil. Namun, setelah dia tahu, dia wajib menyerahkan bahagian rumah tersebut termasuk hasil sewaan kepada pemiliknya. Jika tidak, maka ia termasuk dalam situasi memakan harta secara batil.

2) Tidak boleh mengambil sikap tidak ingin tahu. Hak seseorang adalah tetap. Berdosa mengambil harta orang lain tanpa keizinannya.

3) Tidak menjadi masalah kerana puan berhak melakukan apa-apa sahaja terhadap harta yang dimiliki termasuk merobohkan, menjual, atau menghadiahkan.

4) Kos yang telah diambil oleh abang puan daripada harta puan perlulah dikira secara adil mengikut keluasan rumah puan dan diberikan kepada puan sebagai pemilik tanah. Perkara ini memerlukan kepada bantuan pihak ketiga dalam menentukan kos yang sebenar termasuk pengiraan bil-bil tertunggak dan sebagainya.

5) Sekiranya puan bertindak menghalalkan tindakan tersebut, maka itu adalah suatu tindakan yang terpuji bagi memelihara silaturrahim dan juga merupakan suatu bentuk sedekah yang digalakkan dalam Islam. Walau bagaimanapun, puan juga berhak untuk tidak menghalalkan perbuatan ini dengan membuat tuntutan yang sewajarnya. Oleh itu, si abang perlu mengembalikan hak puan.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 29

message user image