BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamulaikum,

Saya ingin bertanya soalan mengenai hukum agama. 

Saya telah membeli kurma dari penjual anggaran 125 kotak kecil, namun atas kesalahan penjual dalam menghantar dan kecuaian belah saya untuk periksa, ternyata kami mendapat 125 kotak besar kurma. Kami telah mengagihkan kesemuanya sebagai derma.

Kerana bilangan yang diterima lain, penjual meminta kami membayar baki untuk jumlah yang dihantar. Walaupun dari segi undang undang umum, ternyata saya tidak perlu bayar. Tapi apakah hukumnya dari segi undang-undang? Adakah ianya dikira hutang? Adakah berdosa jika tidak membayar jumlah lebih?

Harap dapat membantu kerana saya risau jika ianya dikira hutang dan hukumnya tidak membayar hutang sebelum meninggal. 

Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk soalan yang diajukan; syarak membolehkan beberapa jenis hak memilih bagi pembeli sama ada untuk meneruskan akad, membatalkan atau meminda akad (khiyar) dengan syarat-syaratnya, iaitu hak memilih disebabkan kecacatan (Khiyar al-‘Aib), hak memilih disebabkan perbezaan spesifikasi (Khiyar Khalf al-Wasfi) dan hak memilih setelah melihat barang (Khiyar al-Ru’yah). Antara syarat-syarat tersebut, pembeli tidak menggunakan barang tersebut setelah mengetahui ada kecacatannya, atau perbezaan spesifikasi, atau perbezaan apabila dilihat dibandingkan apa yang zahir pada iklan. 

Namun, jika pembeli sudah menggunakan barang tersebut, maka telah terputus khiyar (pilihan) baginya. Walau bagaimanpun, pihak tuan tidak menanggung apa-apa ganti rugi seperti yang diminta oleh pihak penjual kerana tuan tidak mengetahui barang yang tersilap itu sebelum menggunakannya. Hal ini kerana taqsir (kecuaian dan kesilapan) yang berlaku adalah merupakan tanggungan pihak penjual itu sendiri. Justeru, pihak pembeli tidak wajib menanggung apa-apa ganti rugi tersebut melainkan jika ada dalam perjanjian semasa akad. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 75

message user image