BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ada satu persoalan mengenai kenajisan air yang tercampur najis tahi cicak. 

Di rumah saya, terdapat satu kolah simpanan air di dalam tandas yang berukuran sederhana besar tetapi tidak mencapai dua kolah. Masalah timbul apabila pernah terjadi kolah ini telah diisi sehingga penuh tetapi setelah itu ada satu tahi cicak terjatuh ke dalamnya tetapi tidak merubah apa apa sifat air (bau, warna, rasa). Setahu saya, kolah air yang tidak mencukupi dua kolah, walaupun satu tahi cicak jatuh, seluruh air itu dikategorikan mutannajis. Persoalannya, adakah perlu saya membuang keseluruhan air itu dan mengisi dengan air baru? Saya merasa keberatan kerana dari kecil telah diajar untuk berjimat menggunakan air dan tarif bil air juga mahal. Apakah cara sebenar untuk mengendalikan air kurang dua kolah yang tercemar dengan sedikit najis seperti dalam situasi saya ini? Adakah cukup dengan membuang najis tahi cicak itu atau saya perlu mengosongkan kolah tersebut? 

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan, kolah simpanan air yang tidak cukup dua kolah apabila terdapat di dalamnya tahi cicak walaupun tidak berubah air tersebut dari sudut warna, bau dan rasanya, maka hukum airnya menjadi mutannajis dan tidak boleh digunakan untuk berwuduk dan mandi wajib. 

Dalilnya ialah sabda Rasulullah SAW:

إِذَا اسْتَيْقَظَ أَحَدُكُمْ مِنْ نَوْمِهِ، فَلَا يَغْمِسْ يَدَهُ فِي الْإِنَاءِ حَتَّى يَغْسِلَهَا ثَلَاثًا، فَإِنَّهُ لَا يَدْرِي أَيْنَ بَاتَتْ يَدُهُ

Maksudnya: Jika salah seorang daripada kalian bangun daripada tidur, maka janganlah dia mencelupkan tangannya ke dalam bekas air sehinggalah dia membasuhnya (terlebih dahulu) sebanyak tiga kali, kerana dia tidak tahu di manakah tangannya bermalam. (Riwayat Muslim) 

Walau bagaimanapun seandainya air itu dapat ditambah sehingga mencapai 2 kolah, maka air itu menjadi air mutlak iaitu suci lagi mensucikan. Ini berdasarkan hadis daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا كَانَ الْمَاءُ قُلَّتَيْنِ لَمْ يَحْمِلِ الخَبَثَ

Maksudnya: Jika air itu berjumlah dua kolah, maka air itu tidak menanggung kekotoran (atau najis).

Apa yang boleh disarankan adalah memiliki bekas simpanan air yang melebihi dua kolah. Dengan memasukkan air tersebut ke dalam bekas melebihi 2 kolah, maka air tersebut menjadi air mutlak dan boleh digunakan untuk bersuci. Sekiranya tiada, maka bekas itu perlu dikosongkan dan digantikan dengan yang baharu. Bagi menjamin tahap kebersihan dan kesucian air dalam kolah serta dapat memastikan dasar penjimatan penggunaan air, adalah dicadangkan agar kolah tersebut sentiasa ditutup apabila tidak digunakan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 24

message user image