BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya hendak bertanya mengenai hukum menjadi seorang fund accountant. Saya ada kemusykilan mengenai apakah hukum kita bekerja sebagai seorang fund accountant di syarikat bukan bumiputera yang menguruskan dana orang awam. Fund manager di syarikat ini biasanya akan menguruskan dana pelanggan untuk dilaburkan sama ada ke dalam bon, saham syarikat dan lain-lain. Maka segala keputusan pelaburan sama ada pelaburan itu dilaburkan mengikut landasan patuh syariah atau sebaliknya hanya akan ditentukan oleh fund manager. Apakah hukum saya selaku fund accountant yang hanya menjaga cash flow pelanggan dan urusan lain yang tidak melibatkan dengan keputusan ke mana pelaburan itu dilaburkan? Jikalau saya dapati ada sebahagian pelaburan yang diletakkan di dalam komponen pelaburan yang tidak patuh syariah, adakah saya masih boleh bekerja di syarikat itu?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan; secara umumnya bekerja di mana-mana syarikat adalah diharuskan selagimana diyakini tidak ada perkaitan dengan sebarang larangan yang disebutkan oleh syarak. Ini berdasarkan umum kaedah fiqhiyyah yang menyebutkan "hukum asal bagi sesuatu itu adalah harus". Namun, Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 88: 

وَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ حَلَالًا طَيِّبًا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي أَنتُم بِهِ مُؤْمِنُونَ

Maksudnya: Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman.

Di dalam ayat ini, menunjukkan kewajipan mencari dan memakan rezeki yang halal lagi baik. Lafaz makan dalam ayat ini adalah umum merangkumi segala perbuatan yang lain seperti minum, pakai, menaiki dan sebagainya. Hal ini termasuklah bekerja bagi menyara kehidupan seharian, mestilah ditekankan agar punca rezeki dan mata pencarian datangnya daripada sumber yang halal.

Selain itu, bertepatan dengan hadis Nabi SAW yang menyuruh untuk mengelakkan dari mengambil sesuatu yang haram secara pasti dan syubhah kerana setiap daging yang tumbuh daripada perkara yang haram nescaya azab neraka baginya. Oleh itu, benarlah sabda Nabi SAW:

إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ

Maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhah bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhah, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan.  (Riwayat Muslim 107)

Berdasarkan penjelasan di atas, nasihat yang boleh diberikan ialah berusaha sebaik mungkin untuk mencari pekerjaan lain yang lebih diyakini. Hal ini tentunya akan berbeza daripada setiap individu dengan individu yang lain serta kesusahan yang dihadapi dalam mendapat pekerjaan lain yang sesuai. Oleh itu, para pekerja tidak perlu tergesa-gesa berhenti daripada pekerjaan sedia ada sehinggalah mendapat pekerjaan lain yang patuh syariah. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 42

message user image