BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz. Mohon dijawab persoalannya kerana saya jadi was-was.

Pada satu tengahari, saya sedang mengangkat baju dari mesin basuh di halaman simen belakang rumah saya. Halaman simen rumah saya itu kecil, berbumbung dan bersambung dengan halaman rumah jiran sebelah (hanya terpisah dengan pagar wayar hijau).

Tiba- tiba, ada seekor anjing memasuki kawasan halaman rumah jiran saya itu (sangat hampir dengan halaman simen rumah saya). Oleh kerana saya takut, saya terus masuk ke rumah. Setelah suami saya pulang, baru saya meminta suami saya menghalau anjing itu. Dan suami saya menyatakan dia tidak melihat apa apa najis dari anjing itu. Apa yang saya was-was adalah, apakah semasa anjing itu masuk ke halaman simen, tapak kaki/badannya basah kerana pagi itu hari hujan. Saya risau kalau semasa suami saya menghalau anjing itu basahan itu sudah kering lalu suami saya tidak melihatnya.

Kemudian, setelah hari malam, hujan turun dengan sangat lebat lalu menyebabkan air hujan tempias ke halaman rumah saya dan juga jiran. Saya takut jika saya tidak perasan ada air liur/basahan dari tapak kaki/badan anjing atau bulu anjing yang tertinggal lalu bercampur dengan air hujan dan tersebar ke seluruh tempat.

Apakah seluruh simen dan kawasan yang terkena tempias air hujan (termasuk mesin basuh saya) semuanya terkena najis mughallazoh ya?

Mohon maaf ya ustaz soalannya panjang tapi saya sangat memerlukan jawapan dari ustaz supaya hati saya tenang.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapat najis sama ada dari segi ain, warna atau rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila ia jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna. 

Sehubungan itu, jika najis sekadar andaian atau sangkaan sahaja, maka ia kembali kepada kaedah fiqah menyatakan: 

الأصل في الأشياء الطهارة

Maksudnya: Hukum asal segala sesuatu adalah suci. 

Ini kerana pada asalnya, hukum setiap sesuatu itu adalah suci sehingga terbukti adanya najis dengan kehadiran salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Kaedah fiqah yang lain juga ada menyatakan bahawa:

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak akan dapat menghapuskan keraguan. 

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak dapat dipastkan dengan jelas ain najis yang kelihatan, maka tidak perlu disertu. Jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was, maka ianya tidak perlu disertu dan hanya perlu dibersihkan seperti biasa sahaja. Banyakkan istighfar apabila timbul perasaan was-was bagi memastikan diri tidak terbelenggu dengan perasaan was-was yang teruk.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 22

message user image