BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan,

 

Saya bekerja di sebuah syarikat. Di syarikat saya, seorang pekerja atasan saya kadang-kala berlaku culas dalam kerja nya seperti tidak punch out keluar dan sebagainya. Pihak pengurusan sedang memerhati tindakan pekerja itu. Dan saya diarahkan untuk menyerahkan punch card pekerja2 termasuk punch card pekerja tersebut, supaya tindakan lanjut oleh pihak pengurusan sumber manusia dapat dilakukan. Saya risau kalau tindakan saya menyerahkan punch card itu boleh menyebabkan pekerja itu diambil tindakan dan lebih teruk lagi dibuang kerja. Adakah tindakan saya dikira berdosa dan menganiaya pekerja tersebut? Mohon pencerahan tuan. Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Setiap pekerja mempunyai amanah terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara. Bagi pekerja Muslim, memelihara amanah yang diberikan adalah satu tanggungjawab maka hendaklah ditunaikan dengan sebaik–baik mungkin dan tidak menyalahgunakannya sama sekali. Bagi kita sebagai seorang pekerja maka, di bahu kita menggalas amanah untuk melaksanakan tugas dengan penuh minat, ketekunan, kegigihan dan kesungguhan yang tinggi. Kita diseru agar mengutamakan kepentingan majikan serta organisasi berbanding kepentingan diri, sentiasa berusaha memastikan majikan dan organisasi tempat kita bekerja, mencapai matlamat yang disasarkan dengan jayanya.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Maidah ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ                                            

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Justeru, tindakan tuan menyembunyikan perkara yang benar adalah lebih mudharat kepada tuan dan juga syarikat. Sewajarnya tindakan-tindakan tidak beretika yang dilakukan oleh pekerja sama ada pegawai tertinggi sehingga pegawai rendah perlu dilapor seawalnya supaya tindakan drastik seperti dibuang kerja boleh dielakkan.

Tindakan tuan memberi Kerjasama kepada pihak majikan adalah wajar dan tepat serta tidak menjadi dosa apatahlagi menganiayai pekerja-pekerja tersebut. Moga majikan memberi peluang kepada mereka dan yang terlibat dapat memperbaiki kesilapan yang dilakukan dengan mengamalkan etika kerja lebih berintegriti.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 44

message user image