BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan/Puan,

Saya ingin bertanya apakah hukum kita guna akaun bank jenis konvensional? Saya baru dapat tahu ada ahli keluarga saya yang menggunakan akaun konvensional, tetapi mungkin dia sendiri tidak tahu bahawa akaun bank dia selama ini merupakan akaun bank konvensional.

Jadi, apa perlu dia lakukan dengan duitnya yang di dalam bank itu? Adakah haram hukumnya menggunakan duit itu? 

Sekiranya kita dengan sengaja memilih untuk menggunakan akaun bank konvensional, dan kemudiannya ingin menukar ke akaun bank islamik, apakah hukum duit yang berada dalam akaun bank itu? 

Mohon penjelasan tuan. Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

 وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk soalan yang diajukan; menggunakan perkhidmatan dan produk perbankan konvensional adalah haram kerana ia terlibat dengan riba. Ini berdasarkan hadis Rasulullah:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آكِلَ الرِّبَا وَمُؤْكِلَهُ وَكَاتِبَهُ وَشَاهِدَيْهِ وَقَالَ هُمْ سَوَاءٌ

Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat pemakan riba, yang memberi makan, 2 orang saksi dan jurutulisnya, kedudukan mereka itu semuanya sama. (Riwayat Muslim) 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, kali ke-32 yang bersidang pada 10-11 Jun 1993 di Kedah telah membincangkan Hukum Bermuamalah Dengan Bank-Bank Perdagangan. Muzakarah memutuskan:

1. Bekerja di bank atau institusi kewangan hukumnya harus.

2. Pinjaman bank atau institusi kewangan adalah haram hukumnya kecuali kerana terpaksa bagi memenuhi keperluan asas yang terdesak.

3. Menyimpan wang di bank dengan tidak mengambil faedah hukumnya harus.

4. Wang faedah yang diperolehi dari bank atau institusi kewangan adalah haram digunakan untuk diri sendiri tetapi hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.

5. Menerima berbagai-bagai bentuk hadiah dan pemberian dari bank dan institusi kewangan seperti biasiswa adalah harus hukumnya.

6. Menyewakan bangunan kepada bank adalah haram.

7. Memegang saham bank yang mengamalkan riba adalah haram. 

Sehubungan dengan itu, jika puan telah mengetahui maka puan hendaklah segera menukar perkhidmatan bank konvensional kepada bank yang patuh syariah agar duit yang digunakan dijamin bersih dan halal. Justeru, duit yang berbaki dalam bank konvensional itu perlu dipisahkan dahulu sama ada jumlah duit asal simpanan dan juga faedah yang diperoleh dari simpanan tersebut. Maka, duit asal simpanan dibolehkan untuk puan menggunakannya. Manakala duit faedah yang diperolehi daripada duit yang disimpan di dalam bank konvensional adalah termasuk dalam istilah riba yang dikategorikan sebagai wang tidak patuh syariah. 

Berkenaan penggunaan wang yang tidak patuh syariah, berdasarkan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23-25 Jun 2009 telah membincangkan Hukum Penyaluran Harta tidak patuh Syariah Ke Baitulmal Dan Institusi Islam Lain. Muzakarah telah memutuskan bahawa; Di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manafaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

1. Diserahkan kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;

2. Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau

3. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.

Justeru itu, wang tersebut bolehlah diserahkan ke baitulmal secara online atau ke kaunter pungutan Lembaga Zakat Selangor yang berhampiran sebagai ejen terimaan wang yang tidak patuh syariah

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 56

message user image