BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan mufti,

Saya mempunyai satu permasalahan yang menyebabkan saya berasa kurang senang kebelakangan ini. 
Seperti yang sedia maklum, negara sedang hangat dengan isu boikot untuk menunjukkan solidariti terhadap saudara kita di palestin. Sudah semestinya barangan daripada US diboikot untuk menunjukkan kita tidak menyokong kekejaman dan pembunuhan yang dilakukan tentera negara haram israel terhadap rakyat palestin.

Jadi permasalahan saya bermula begini. Saya sudah menggunakan telefon saya yang berjenama iphone selama 7 tahun, sehinggakan kebanyakan aplikasi sudah tidak boleh diupdate kerana sistem telephone saya yang sudah lama. Tambahan pula saya seorang pelajar. Oleh itu, saya mempunyai kesukaran untuk menggunakan telefon saya untuk mendownload aplikasi. Oleh kerana saya masih belum bekerja dan masih dibawah tanggungan ibu bapa, saya meminta telefon baru daripada mereka untuk kemudahan saya. Jadi, ibu bapa saya pun berjanji untuk membeli saya telefon baru. Akan tetapi, 2 tahun sudah berlalu dan saya masih belum mendapat telefon baru kerana ibu bapak sibuk bekerja dan asyik menangguh untuk pergi ke kedai telefon. Sehinggalah hujung tahun 2023 di mana boikot sudah dilakukan secara besar besaran. Saya masih lagi meminta telefon baru daripada ibu bapa saya, tapi tidak mendesak seperti sebelum ini. Kerana saya tau perlu memboikot jenama telefon tersebut. Lagipun ibu bapa saya juga memberi alasan tidak boleh membelikan telefon baru kerana boikot. Akan tetapi, pada suatu hari, ibu bapa saya pulang dengan sebuah telefon baharu iaitu iphone 15 promax, keluaran jenama apple. Pada masa itu saya terkejut kerana saya tidak menyangka ibu bapa saya akan membelikan telefon tersebut. Saya pada mulanya berasa gembira. Akan tetapi tidak lama kemudian saya terfikir. "Adakah saya menyumbang kepada keganasan yang dilakukan terhadap palestine?". Daripada perasaan gembira saya menjadi resah. Akan tetapi saya tidak mampu menolak kerana ibu bapa saya sudahpun membeli telefon tersebut dengan harga yang mahal. Saya juga berasa malu untuk menggunakan telefon baru tersebut kerana risau diperli dan ditegur orang sekeliling kerana membeli produk yang sepatutnya diboikot. Saya risau telefon yang saya guna ini adalah haram kerana seperti memberi wang untuk menyokong penindasan warga palestin. Apakah yang perlu saya lakukan? Adakah ibu bapa saya berdosa kerana mereka juga membeli? Saya berasa risau


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan; boikot merupakan perkara ijtihad yang mana hukumnya terdapat perbezaan pendapat dan daya ekspisit mengikut situasi tertentu. Tambahan pula, tidak ada mana-mana mufti atau badan berwajib yang mengatakan bahawa boikot ini hukumnya wajib. Secara asasnya, hukum berkenaan boikot dari perspektif Islam adalah dibenarkan. Perbuatan boikot selari dengan tuntutan jihad dari segi harta. Namun begitu, situasi yang berlaku kepada puan dan keluarga tidaklah menjadi suatu kesalahan dan dosa kerana pembelian yang dilakukan dari sumber yang halal dan bukan berunsurkan perkara haram seperti membeli telefon bimbit menggunakan harta curi. Begitu juga, ibu bapa puan juga tidak menanggung dosa jika benar pihak Apple memberikan bantuan kepada pihak Israel kerana bertepatan dengan nas al-Quran di dalam surah al-An'am ayat 164: 

وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا ۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ ۚ

Maksudnya: Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). 

Oleh itu, puan sewajarnya tidak perlu risau dan boleh teruskan menggunakan telefon bimbit tersebut. Namun, lebih dikhuatiri lagi jika puan tidak menggunakannya puan boleh tergolong di dalam golongan orang yang melakukan pembaziran dan Islam melarang umatnya melakukan sebarang pembaziran. Selain itu, pada masa akan datang jika puan ingin membeli telefon bimbit baharu, maka digalakkan untuk membuat pertimbangan terlebih dahulu dengan mendahulukan barangan dan perkhidmatan melalui pihak yang secara terang terangan tidak menyokong serangan dan menyalurkan dana rejim Israel. 

والله أعلم بالصواب

Ulasan:

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 34

message user image