BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Aminah merupakan seorang juruteknik kilang milik perniagaan yang terlibat secara langsung dengan kezaliman Israel ke atas umat Islam Palestin.

Aminah bertanggungjawab menyelenggara mesin- mesin penghasilan dakwat komputer sebagai salah satu produk perniagaan terbabit.

Soalan saya, adakah wajib bagi Aminah untuk terus berhenti kerja serta merta daripada kilang terbabit?

Bagaimana dengan pembayaran komitmen bulanan serta keperluan asas Aminah seperti tempat tinggal yang mungkin terjejas kesan peletakkan jawatannya itu?

Adakah kegagalan berhenti kerja akan menjadikan Aminah tergolong dalam golongan mensyirikkan Allah sebagai pemberi rezeki dalam kehidupan hambaNya? 

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Pertama, perlu kita fahami isu boikot adalah isu fiqh bukan pula isu aqidah. Seseorang yang memboikot produk Israel atau berkaitan dengan sumbangan kepada Israel tidaklah dikira paling beriman. Begitu juga sekiranya orang yang tidak memboikot dikira tidak beriman. 

Kedua, hukum asal bagi boikot adalah fardu kifayah. Ini bermakna kewajipan boikot telah terlaksana cukup dilaksanakan oleh sebahagian individu Muslim. Jika dilihat situasi yang berlaku di Malaysia, sudah cukup ramai orang yang memboikot. Maka kita tidak lagi diwajibkan untuk memboikot.

Ketiga, isu boikot terkait dengan kewarakan seseorang. Siapa yang mampu memboikot dipersilakan untuk boikot. Sesiapa yang tidak mampu atas sebab-sebab tertentu maka tidak diminta untuk memboikot.

Keempat, kita perlu siasat dan teliti terlebih dahulu adakah benar sesuatu syarikat itu betul-betul terlibat dengan keganasan Israel dengan menyalurkan wang syarikat secara langsung untuk kegunaan senjata mereka. Atau syarikat tersebut sekadar mengambil sikap neutral. Atau juga sekadar franchise.

Kelima, kita memang meyakini Allah SWT pemberi rezeki. Kita juga perlu fahami bahawa Allah SWT memerintahkan kita untuk mencari sebab kepada penghasilan rezeki tersebut. Dalam masa yang sama kita perlu yakin Allah yang menentukan segala-galanya di sebalik usaha kita.

Bagi mejawab soalan yang diajukan, Aminah tidak diwajibkan berhenti kerja serta merta jika dengan berhenti kerja itu akan mendatangkan mudarat kepada dirinya. Walau bagaimanapun, pihak kami menggalakkan Aminah untuk segera untuk mendapatkan perkejaan lain walaupun untuk seketika bagi mengelakkan diri daripada terlibat dengan perkara syubhah. Kemudian bertawakkal kepada Allah SWT moga-moga usaha untuk mejauhkan diri daripada perkara syubhah dibalas dengan sesuatu yang lebih baik daripada sebelum ini.

Untuk lebih jelas berkaitan isu boikot, boleh baca penerangan yang lebih terperinci di #40 Taudhih Al-Hukmi: Boikot Menurut Perspektif Islam https://www.muftiselangor.gov.my/en/2024/01/11/40-taudhih-al-hukmi-boikot-menurut-perspektif-islam/

والله أعلم بالصواب

 

 

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 87

message user image