BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Soalan : Hukum penggunaan skin graft bagi merawat luka pada bahagian kulit.

Assalamualaikum wbt, saya mempunyai soalan kepada pihak mufti, 

Kini kemajuan sains dan teknologi telah menjadi semakin berkembang dan pesat dalam pelbagai bidang termasuklah bidang perubatan. Semakin banyak teknologi yang dicipta bagi merawat penyakit dan masalah kesihatan manusia pada hari ini. Dan antara salah satunya ialah pencantuman kulit (skin graft) iaitu satu proses dimana sebahagian daripada kulit yang sihat akan diambil dan ditampal pada bahagian badan yang bermasalah bagi merawat luka besar dan kronik yang berlaku pada kulit tubuh badan manusia seperti terbakar, melecur akibat asid atau api dan tercarik akibat kemalangan serta kanser kulit. Ini adalah kerana luka seperti mengambil masa yang sangat lama untuk sembuh. Menurut kaedah fiqh iaitu الضرر يزال kita perlulah menghilangkan darurat yang ada kerana ia merupakan tuntutan agama. Akan tetapi saya mempunyai soalan, adakah dengan menggunakan kaedah skin graft ini benar-benar mengikut kehendak agama kerana sebahagian kulit manusia yang normal dan sihat perlu dilukakan dan dicabut untuk menutup kulit yang bermasalah? Ianya ibarat kita perlu memudharatkan bahagian kulit yang sihat untuk menutup mudarat yang berlaku di kawasan kulit yang rosak. Mohon pencerahan daripada pihak Jabatan Mufti, sekian terima kasih.

Jazakumullahu khairankathiran. 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Memang benar perlu untuk merawat suatu penyakit bagi menghilangkan kemudaratan berdasarkan kaedah (الضرر يزال) "mudarat mestilah dihilangkan". Akan tetapi, ada juga kaedah yang menyatakan (الضرر لا يزال بالضرر) "mudarat tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan yang lain" berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Sa'id al-Khudri RA, sabda Nabi SAW:

لا ضرر ولا ضرار

Maksudnya: Tidak boleh memudaratkan diri sendiri dan tidak boleh memudaratkan orang lain. (Riwayat Ibnu Majah)

Hadis ini menerangkan larangan memudaratkan diri sendiri dan orang lain dengan apa-apa cara termasuklah melukai diri sendiri. Walaupun begitu, jika dalam situasi darurat maka harus melakukan perkara yang dilarang bertepatan dengan kaedah (الضرورات تبيح المحظورات) "darurat mengharuskan perkara yang dilarang" (rujuk: al-Asybah Wa al-Nazair). Ini kerana darurat adalah keadaan yang boleh menyebabkan berlaku kebinasaan (kematian dan lain-lain) kepada diri seseorang sama ada secara yakin atau secara sangkaan. (rujuk: al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh)

Bagi menjawab soalan yang diajukan, Jika kecederaan kulit atau penyakit kulit terlalu kronik sehingga memerlukan rawatan skin graft dan tiada alternatif rawatan lain maka ianya dibenarkan. Kaedah rawatan skin graft adalah bertepatan dengan kaedah "mudarat mestilah dihilangkan" serta kaedah "jika berlaku perselisihan antara dua mudarat, maka dipilih mudarat yang paling ringan". Maka rawatan skin graft adalah memilih mudarat yang ringan dengan mengambil kulit yang sihat bagi menolak mudarat yang besar iaitu merawat kulit yang kronik.

والله أعلم بالصواب

 

 

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 31

message user image