BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, 
Saya ingin bertanya, baru-baru ini kawan-kawan saya membawa saya makan di kedai bukan orang islam. Kedai tersebut adalah kedai "muslim friendly". dan di depan kedai tersebut juga tulis "No Pork". Tetapi kawan saya sering bergurau dengan mengatakan makanan yang kami makan ini mengandungi benda haram. Saya juga ada pernah mendengar sekiranya berlakon meminum air kosong sebagai arak maka ianya haram? Jadi adakah makanan tersebut jatuh haram? Mohon Penjelasan.

Terima Kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Tanda atau penyataan "Muslim Friendly" dan "No Pork" tidak menjamin bahawa makanan yang disediakan adalah halal. Ini adalah kerana kenyataan "No Pork" hanya memberitahu bahawa restauran itu tidak menghidangkan daging khinzir, dan ini tidak bermakna hidangan daging lain adalah halal. Begitu juga tanda "Muslim Friendly", ia hanya menyatakan mesra kepada orang muslim, dan tidak mengatakan makanan yang disediakan adalah halal. Penilaian halal sesuatu makanan bukan saja dilihat dari segi jenis binatang, tapi juga dilihat dari segi sembelihan, penghantaran, penyimpanan, bahan-bahan lain yang digunakan serta cara penyediaan makanan itu sendiri. Makan dan belilah makanan dari restoran atau produk yang telah mendapat Pensijilan Halal yang telah dikeluarkan oleh pihak Jabatan Agama Islam Negeri atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).  

Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat 168:

يَاأَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Bermaksud: Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.

Manakala, perbuatan meminum minuman halal dengan membayangkan atau berniat minuman itu sebagai arak hukum adalah haram dan berdosa. Ini berdasarkan kepada hadis daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

«مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ»

Maksudnya: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.

Sewajarnya belilah makanan daripada peniaga Muslim untuk memastikan hidangan yang disediakan adalah halal dan bagi mengelakkan syubhah.

والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 69

message user image