BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Saya ada soalan mengenai haid saya . Saya dtg haid selalunya akn habes hr ke 7.. jd slalunya hr 8 saya akn mandi wajib.. ttp pd hari ke 11 atau 12.. akan keluar coklat2 .. jd saya akn mandi wajib pd hr ke 15.. persoalan saya . Jika saya masih dlm tempoh sebelum 15 hr.. dn ada kekuningan shj..adakah saya bleh solat dn berpuasa?


message user image

Jawapan  

 .وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

 .الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, 7 hari pertama darah yang keluar adalah darah haid. Saudari hendaklah terus mandi wajib dan solat sekiranya meyakini telah suci dan dapat dipastikan darah haid telah berhenti. Tidak boleh menunggu sehingga hari yang berikutnya untuk mandi wajib kerana kewajipan solat telah bermula. 

Walau bagaimanapun, sekiranya selepas daripada itu keluar darah cokelat pada hari yang ke 11 dan 12 (sebagaimana contoh yang diberikan dan masih dalam lingkungan 15 hari tempoh maksimum haid), maka sebaik sahaja darah itu keluar pada hari yang ke 11, saudari hendaklah berhenti daripada solat kerana ia dianggap sebagai darah haid (kerana telah mencukupi syarat keluar darah 24 jam).

Tempoh dari hari yang ke 8, 9 dan 10, yang mana darah tidak keluar dinamakan sebagai naqa'. Begitulah yang dilakukan setiap kali naqa' (mandi dan solat).

Dalam kes ini, hari ke 8, 9 dan 10 dikira sebagai tempoh haid. Solat atau puasa yang dilakukan pada tempoh tersebut adalah tidak sah, namun tetap mendapat pahala. Jika ia berlaku pada bulan Ramadhan, puasa itu wajib diqada'. Begitu juga sekiranya berlaku hubungan suami isteri pada tempoh tersebut, ia dimaafkan.

Seandainya darah yang keluar adalah berwarna kekuningan, hukumnya adalah sama dengan darah merah atau cokelat. Ia juga dianggap sebagai darah haid, maka dilarang daripada mendirikan solat dan berpuasa pada masa itu.

Jika dapat dipastikan darah telah berhenti pada hari ke 12, maka saudari hendaklah mandi wajib pada hari tersebut dan tidak boleh menunggu hingga hari ke 15.

الله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 57

message user image