BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan/puan/haji/hajjah/dato,

Sudah lama soalan ini, bermain di minda saya dan saya selalu tertanya boleh ke saya putus kawan asbab kawan saya sudah tidak lagi berwatakan elok. Contoh, kawan saya tidak menggajak ke arah keburukan tetapi dia banyak terlibat dalam keburukan seperti pembedahan plastik di hidung dan anggota badan, Mengaibkan suami dia sendiri dan keluarga suami. Saya sudah penat berpesan daripada 2021 sampai ke tahun kini, 2024 masih tidak endah dan kini mahu menghabiskan wang untuk prosedur mata yang bukan untuk membuang rabun tapi untuk kecantikkan semata. Mohon beri saya pencerahan, saya penat dengan melayani karenah kawan saya yang saya kenal lebih 20 tahun ini.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام  ورحمة الله وبركاته 

..الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Memilih kawan rapat atau sahabat adalah sesuatu yang tidak boleh diambil mudah. Sebab itu Islam mengajarkan kita jangan sampai salah memilih sahabat kerana seorang sahabat memiliki pengaruh yang sangat besar terhadap peribadi sahabatnya yang lain. 

Ingin juga kami jelaskan ciri-ciri sahabat yang sepatutnya kita dampingi untuk menuju kepada Allah S.W.T.:

1. Hendaklah orang itu bertakwa, yang mengajak kepada kebaikan dan meninggalkan kejahatan atau dosa..

2. Hendaklah orang itu orang yang mudah bergaul.

3. Cari orang yang menutupi aib kita dan menceritakan kebaikan kita.

4. Sahabat ini orang yang banyak manfaat terhadap orang lain.

5. Hendaklah cari sahabat yang terus terang, tidak menyembunyikan sesuatu kelemahan dan kekurangan diri.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, memutuskan hubungan persahabatan atau persaudaraan adalah dilarang di dalam Islam. Ini adalah kerana umat Islam adalah bersaudara sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah  Al-Hujurat ayat 10:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

Sebagai seorang Islam yang baik, perlu ada rasa kasihan terhadap sahabat kita dan mengingnkan kebaikan kepadanya, mendoakan keselamatan serta kebahagian hidupnya di dunia dan di akhirat. Hadis daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ، حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Maksudnya: Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri.

Walau bagaimanapun seandainya dibimbangi dengan bersahabat dengannya boleh menyebabkan terpengaruh atau memudaratkan diri, maka hendaklah menjauhkan diri daripadanya. Ini berdasarkan apa yang dapat difahami daripada hadis daripada Abu Musa Al-Asy'ari RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَثَلُ الجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالجَلِيسِ السَّوْءِ، كَمَثَلِ صَاحِبِ المِسْكِ وَكِيرِ الحَدَّادِ، لاَ يَعْدَمُكَ مِنْ صَاحِبِ المِسْكِ إِمَّا تَشْتَرِيهِ، أَوْ تَجِدُ رِيحَهُ، وَكِيرُ الحَدَّادِ يُحْرِقُ بَدَنَكَ، أَوْ ثَوْبَكَ، أَوْ تَجِدُ مِنْهُ رِيحًا خَبِيثَةً

Maksudnya: Perumpamaan seorang individu yang baik (yang duduk bersama dengan kita) dan juga individu yang buruk adalah seperti penjual minyak wangi dan juga tukang besi. Duduk bersama penjual minyak wangi sama ada kamu akan membelinya atau kami dapat menikmati bauan wanginya. Manakala duduk bersama tukang besi pula sama ada menyebabkan terpercik api ke badan atau baju kamu, atau kamu mendapati bauan yang busuk darinya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 73

message user image