BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

 

Assalamualaikum, saya nak tanya..

Apakah hukum terhadap orang yang terpijak najis hukmi yang disebabkan oleh orang lain?

Sebagai contoh, Si "A" keluar dari tandas tanpa membasuh kakinya (tapak kaki selipar tandas) yang terpijak air kencing..

Selepas itu, apabila 6 jam sudah berlalu, bekas tapak kaki tersebut sudah kering, dan si "B" pula terpijak tapak kaki tersebut dengan kaki yang basah.

Kemudian, Si "A" nampak tetapi dia tidak memberitahu kerana dia tidak mahu membebankan diri kerana mungkin seluruh lantai nya basah

Apakah Hukum Kesucian Si "B" ya? Jikalau Si "A" dan Si "B" keluar bersama-sama menetap di hotel, adakah kaki si "A" ini bernajis kerana tidak memberitahu si "B" untuk membasuh kakinya?

Dalam hal ini, bolehkah saya menganggap ini sebagai Umum Al-Balwa kerana ia sudah tersebar dan sukar untuk dibendung (kerana kami juga hidup dengan keluarga sendiri jadi mungkin lebih tersebar dengan ramai orang)

Mohon jawapan, saya sangat rasa susah diri dan berasa takut untuk berinteraksi dengan si "B" dan orang lain juga kerana takut najis berpindah semula kepada saya.. dan keluarga-keluarga saya juga asyik memarahi saya kerana berkelakuan sebegini, dalam persoalan ini, adakah saya yang salah atau mereka yang betul?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Menjaga kesucian daripada najis adalah wajib. Ini kerana ia boleh menjejaskan kesahan ibadah terutamanya ibadah solat. Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapat najis sama ada dari segi ain, warna atau rasa. Sehubungan itu, jika najis sekadar andaian atau sangkaan sahaja, maka ia kembali kepada kaedah fiqah menyatakan: 

الأصل في الأشياء الطهارة

Maksudnya: Hukum asal segala sesuatu adalah suci. 

Ini kerana pada asalnya, hukum setiap sesuatu itu adalah suci sehingga terbukti adanya najis dengan kehadiran salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Kaedah fiqah yang lain juga ada menyatakan bahawa:

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihilangkan dengan sebab keraguan.

Najis hukmi adalah najis yang telah hilang ain serta sifatnya seperti warna, bau dan rasa. Ain najis itu hilang sama ada dengan sendirinya seperti air kencing yang telah kering, atau ain najis itu dihilangkan dengan menggunakan kain atau tisu sehingga hilang kesan warna, bau atau rasa akan tetapi tidak dialirkan air mutlak ke atasnya. Najis hukmi tidak memindahkan najis ke tempat lain sekiranya bersentuhan dengannya kerana tidak ada ain najis padanya. Tempat itu bersih kerana tiada lagi najis padanya, akan tetapi ia dihukumkan tidak suci selagi tidak disempurnakan pensuciannya dengan cara mengalirkan air mutlak ke atasnya. Oleh itu tempat tersebut tidak boleh digunakan untuk solat kerana ia tidak suci. 

Menjawab solan yang diajukan, memijak najis hukmi dengan tapak kaki yang basah tidak memindahkan najis ke tempat lain. Oleh itu, tidak berlaku penyebaran najis ke seluruh lantai rumah atau ke tempat-tempat lain.

والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 33

message user image