BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya adakah najis boleh berjangkit/ berpindah? Adakah najis itu berpindah jika terlihat ainnya sahaja atau bagaimana? Misalnya, saya melewati suatu tempat yang banyak anjing sentiasa lalu lalang. Saya membawa beg roda saya. Pada waktu itu cuaca gelap dan agak lembab. Jadi adakah, lintasan anjing yang lalu lalang itu melekat ke roda beg saya dan saya memegang roda beg saya. Adakah itu najis dan kalau iya adakah ianya berjangkit ke tangan saya? Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, sesuatu najis itu tidak boleh berpindah melainkan dalam keadaan basah/lembap. Dalam erti kata lain, jika benda najis itu dalam keadaan kering, maka ia tidak menajiskan benda-benda lain (yang juga dalam keadaan kering) yang bersentuhan dengannya.

Oleh itu, bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapat najis sama ada dari segi ain, warna atau rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila ia jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna. 

Sehubungan itu, jika najis sekadar andaian atau sangkaan sahaja, maka ia kembali kepada kaedah fiqah menyatakan: 

الأصل في الأشياء الطهارة

Maksudnya: Hukum asal segala sesuatu adalah suci. 

Ini kerana pada asalnya, hukum setiap sesuatu itu adalah suci sehingga terbukti adanya najis dengan kehadiran salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Kaedah fiqah yang lain juga ada menyatakan bahawa:

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.

Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidak perlu dibersihkan atau disucikan. Jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya tidak boleh menjadikan sesuatu itu menjadi bernajis. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 48

message user image