BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya tinggalkan kereta untuk dibaiki semalamam di bengkel kereta dan mengambil kereta pada keesokan harinya. Apabila tiba di rumah saya dapati terdapat kesan tapak kaki anjing kering di atas bonet/hood hadapan kereta. Saya tidak pasti jika terdapat kesan tapak kaki di atas bumbung kereta. Saya terus menutup kereta dengan kain penutup kereta. Kain penutup kereta ada sedikit lembapan akibat air hujan, tidak pada keseluruhan kain penutup.

Pada sebelah petang saya membuka kain penutup kereta dan mendapati kesan tapak kaki anjing  pudar (tidak kelihatan bentuk) dan membasuh sekali dengan air sambil mengosok menggunakan penyapu. Beberapa seketika, saya mengambil keputusan untuk menyertu bahagian cermin hadapan dan bonet/hood hadapan kereta. Kemudian saya menutup semula kereta dengan kain penutup kereta. Keadaan kereta semasa ditutup tidak kering sepenuhnya, masih ada kelembapan pada kereta.

1) Adakah najis terpindah daripada kereta kepada kain penutup kereta?

2) Adakah penyapu yang saya gunakan pada basuhan pertama dengan air sahaja perlu disertu?

3) Adakah saya perlu menyertu semula kereta dan kain penutup kereta?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Pada dasarnya sesuatu benda adalah suci kecuali telah jelas padanya terdapat najis. Asal kepada sesuatu yang suci itu kekal dianggap suci sehingga terbukti secara yakin ia telah dicemari oleh najis. Andaian ataupun syak tidak mengubah status asal yang suci itu kepada bernajis. Sebagaimana kaedah fiqh:

اليقين لا يزال بالشك

Maksudnya: Keyakinan tidak dihilangkan oleh keraguan (syak).

Merujuk kepada persoalan tuan, bekas tapak kaki anjing pada bonet/hood hadapan kereta yang telah kering tidak perlu disertu. Melainkan sekiranya jelas dipastikan terdapat ain najis anjing, maka ketika itu perlu sucikan dengan menyertu kawasan yang terkena najis anjing tersebut. Oleh itu:

1) Tiada najis yang berpindah daripada kesan tapak kaki anjing kepada kain penutup kereta.

2) Memandangkan tiada perpindahan najis yang berlaku maka penyapu itu tidak perlu disertu.

3) Saudara tidak perlu menyertu kereta dan kain penutup kereta kerana tidak berlaku perpindahan najis.

والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 28

message user image