BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum mufti, saya seorang perniaga dan saya ada beberapa soalan

1. Apakah hukum menjual jersi bola sepak  gred " copy original" kelab-kelab boleh sepak ternama dunia seperti kelab-kelab liga perdana inggeris dan jersi negara eropah  yang saya beli di shopee dan menjual semula kepada para pelanggan ?

2. Adakah halal dan boleh digunakan untuk makan sekeluarga rezeki saya dapat daripada hasil jualan jersi copy original tersebut ?

3. Apakah hukum saya menjual hanya jersi bola sepak yang logonya bebas daripada lambang agama lain dan penaja atau "sponsor"  kelab tersebut tidak terbabit dalam aktiviti yang diharamkan seperti arak, perjudian dan lain-lain.

4. Jika saya pernah terjual jersi yang ada lambang agama lain apa saya perlu buat untuk membersihkan rezeki saya tersebut ?

5. Jika saya mengeluarkan sendiri jersi keluaran syarikat saya tetapi mengambil inspirasi seperti jersi kelab chelsea saya ubah menjadi jersi "london blue" mengunakan logo dan corak rekaan saya sendiri. Adakah halal saya menjual jersi tersebut ?

 

Terima kasih mufti 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Sebelum menjawab soalan yang diajukan, perlu kita faham "copy original" adalah satu istilah kepada barang yang dijual adalah sejenis barang tiruan yang meniru produk asal tanpa mendapat keizinan syarikat asal. Perkara ini melibatkan hak cipta sesuatu syarikat atau produk. 

Menurut undang-undang, aktiviti menjual barang tiruan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 oleh Bahagian Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK).

Seterusnya, bagi menjawab soalan yang diajukan:

1. Menjual jersi copy original adalah dilarang dan dan hukumnya adalah haram kerana dianggap meniru produk asal dan menjualnya tanpa mendapat keizinan daripada syarikat asal. Ia adalah suatu kesalahan dari segi syarak dan undang-undang.

2. Hasil jualan jersi copy original dikira sebagai sumber rezeki yang terdapat unsur haram dan syubhah. Dibimbangi rezeki yang diperolehi tidak mendatangkan keberkatan kepada diri dan keluarga. 

3-  Harus menjual jersi yang tiada apa-apa sebarang unsur agama lain seperti logo agama atau tiada kaitan dengan tajaan syarikat yang terlibat dengan perkara haram. Haram jual jersi yang ada mempunyai logo agama lain atau terlibat dengan syarikat yang berkait dengan perkara haram. Rujuk fatwa Selangor bertarikh 31 Mac 2011 https://www.muftiselangor.gov.my/2023/10/28/hukum-menggunakan-barangan-yang-mempunyai-lambang-agama-lain-contohnya-sallib-dan-seumpamanya/

4. Beristighfar dan bertaubatlah kepada Allah SWT semoga mendapat keampunan daripada-Nya. Berusaha untuk berniaga dengan meninggalkan perkara yang mengandunig unsur haram serta syubhah. Apa yang telah dibelanjakan daripada hasil keuntungan jualan yang dahulu dimaafkan dan tidak perlu diganti.

5- Harus menjual jersi keluaran sendiri walaupun mengambil inspirasi daripada jersi kelab lain dengan syarat tiada unsur tiruan.

والله أعلم بالصواب

 

 

 

 

 

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 25

message user image