BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

1.Soalan saya, dua kalimah syahadah yang perlu dilafazkan untuk masuk/kembali pada Islam perlu dilafazkan dengan tajwid atau tidak?

2. Dan jika perlu dilafazkan dengan bertajwid, bagaimana bacaan dengan tajwid yang betul pada dua kalimah syahadah?

3. Ash hadu alla ila ha illa llah 

Berapa harakat yang perlu dibaca pada dua 'la' yang saya gariskan di atas? 

4. Adakah kalimah syahadah dalam solat juga perlu dibaca bertajwid?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan:

1. Tidak mengapa bagi seseorang yang kembali kepada Islam atau baru memeluk Islam mengucapkan syahadah tanpa tajwid, iaitu dengan cuba sebaik mungkin mengucap syahadah mengikut kemampuannya. Hal ini kerana ia merupakan ucapan atau pengakuan yang tidak perlu kepada tajwid serta ia tidak termasuk dalam perkara yang boleh membatalkan iman. Lafaz syahadah tetap sah dengan cukup syarat-syarat sah syahadah iaitu: (1) diketahui (faham makna); (2) ditasdiqkan (membenarkan) dengan hati; (3) Diikrarkan dengan lidah; (4) diamalkan dengan anggota/ perbuatan. Adapun begitu, bacaan syahadah dengan bertajwid adalah lebih baik bagi mengelak berlakunya salah lafaz yang boleh membawa salah makna.

2. Perlu diperhatikan huruf yang mempunyai mad iaitu yang perlu dibaca panjang dan huruf bersabdu yang perlu didengungkan seperti huruf nun dan mim  bagi perkataan “anna” dan “Muhammad” pada 2 kalimah syahadah adalah wajibul ghunnah (dengung) dan kadar harakatnya adalah 2 harakat, serta perkataan yang bersabdu "alla" dan "illa".

3. Bacaan 2 kalimah “la” pada perkataan:

أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ 

لَا :  hukum bacaan adalah mad jais munfasil. Perlu dibaca 4 atau 5 harakat.

إِلَهَ :  hukum bacaan adalah mad asli. Dibaca 2 harakat. 

Bacaan bertajwid wajib ketika membaca al-Quran atau bacaan wajib solat. Walau bagaimanapun, diringankan ketika berzikir atau ketika mengucap 2 kalimah syahadah.

4. Bacaan tasyahud merupakan salah satu rukun solat yang perlu dijaga bacaannya supaya makhraj huruf dan segala syaddah dibaca dengan betul. Sekiranya berubah makhraj atau tidak mengambil berat dengan bacaan syaddah atau salah dalam menyebut kalimah sehingga mengubah maknanya, maka batal bacaan tasyahud dan wajib diulangi bacaannya semula. Walau bagaimanapun, setelah belajar cara membaca dengan betul, akan tetapi tidak mampu berbuat demikian, maka dimaafkan. Teruslah berusaha belajar untuk membaca dengan betul.

والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.

 

 

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 17

message user image