BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan. Soalan-soalan saya adalah seperti berikut:

1. Membasuh kawasan bernajis dengan air musta'mal adalah tidak sah mengikut mazhab syafi'e, jadi apakah yang berlaku dengan air musta'mal yang mendatangi najis tersebut? Adakah selepas air must'mal mendatangi najis, ia berubah menjadi air mutanajjis kerana ia tidak mensucikan kawasan bernajis itu dan kemudiannya bercampur dengan najis? Lalu adakah ia menyebabkan kawasan lain yg berada di laluan aliran air tersebut turut menjadi mutanajjis? Mohon dijelaskan keadaan perubahan air ini untuk najis ainiyah dan hukmiyah yang didatangi air musta'mal.

 

2. Saya keluar menaiki moto selepas hujan berhenti ketika jalan masih basah/lembap. Ketika menaiki motor tersebut, tiba-tiba ada sekumpulan anjing duduk di tengah jalan menghalang laluan tersebut. Apabila motorsikal saya semakin mendekat, anjing-anjing tersebut bangun dan pergi dari situ. Kemudian saya terus lalu dikawasan itu. Saya sememangnya yakin bahawa tayar motorsikal saya lalu di tempat anjing tersebut duduk. Jadi adakah tayar motor saya perlu dibasuh dengan basuhan 7 kali berserta 1 kali air tanah? Kawasan rumah saya ada banyak anjing dan hal ini menggangu saya. Jika ketika musim hujan, hampir setiap hari berlaku perkara seperti ini.

3. Bagaimana pula jika semasa lalu dia kawasan anjing duduk tersebut ada percikan air dari tayar motor (yang datang dari atas jalan) kena kepada kaki saya? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan oleh pihak tuan:

1) Air musta`mal adalah salah satu jenis air yang dihuraikan dalam bab taharah atau penyucian. Kalimah “musta`mal” daripada sudut bahasa bermaksud suatu yang telah digunakan. Daripada sudut istilah syarak, air musta`mal ialah air yang telah digunakan untuk fardu taharah seperti mandi, wuduk, atau mensucikan najis hukmi. Hukum air musta’mal adalah suci tetapi tidak lagi boleh mensucikan, seperti air mutaghayyirah yakni air yang bercampur dengan bahan suci jua. Oleh itu, air musta'mal yang mendatangi najis akan bertukar menjadikan air mutannajis dan apabila is mengalir ke tempat lain, tempat itu turut menjadi mutanajjis. Manakala air musta'mal yang melalui tempat atau kawasan yang terdapat najis hukmi, ia tidak menjadikan air itu menjadi mutanajjis. Ini kerana tidak terdapat kesan najis pada tempat tersebut.

2) dan 3) Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapatnya najis dari segi ainnya, warna atau bau. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing atau selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna. Islam menghukum berdasarkan sesuatu yang jelas dan pasti sahaja. Sehubungan itu, jika najis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan: 

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.  

Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu suci dan tiada najis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci. Oleh itu, jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya kekal bersih dan suci.

Oleh itu, tayar motorsikal tersebut adalah kekal suci dan tidak bernajis selagi tidak dapat dipastikan wujudnya najis pada tayar tersebut. Ini kerana air hujan atas jalan raya yang juga dilalui oleh anjing jika terpercik maka tidak perlu untuk disertu. Islam merupakan agama yang berhati-hati dan juga agama yang tidak menyusahkan. Oleh itu, terdapat beberapa kekotoran/najis yang dimaafkan, kerana ia sukar dihilangkan atau dielakkan. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Al-Ghazali dalam kitab Al-Aziz Syarhul Wajiz:

قال الغزالي : يُعْذَرُ مِنْ طِيْنِ الشَّوَارِعِ فِيْمَا يَتَعَذَّرُ الإِحْتِرَازُ عَنْهُ غَالِبًا

“Imam Al-Ghazali berkata: Pakaian yang terkena percikan lumpur atau air di jalanraya kerana sukar untuk dielakkan diri darinya, maka hal ini dimaafkan.”

Imam Ar-Rafi‘i kemudian memberikan ulasan bahawa jika percikan air atau lumpur tersebut diyakini mengandungi najis yang sedikit sehingga tidak dapat dipastikan, maka hal ini juga dimaafkan sekiranya terkena percikan air tersebut.

وَأَمَّا مَا تَسْتَيْقِنُ نَجَاسَتَهُ فَيُعْفَى عَنِ القَلِيلِ مِنْهُ. وأمَّا الكَثِيْرُ فَلاَ يُعْفَى عنهُ كَسَائِرِ النَّجَاسَاتِ

“Jika diyakini jalan tersebut terdapatnya najis, maka hukumnya dimaafkan jika percikan tersebut sedikit, namun jika percikan tersebut banyak maka tidak dimaafkan, sebagaimana hukumnya najis-najis yang lain.”

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 18

message user image