BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalammualaikum w.b.t

Saya nak tanya berkenaan pembukaan kolam memancing ikan. Kolam ini untuk pertandingan dan pihak penganjur menyediakan hadiah wang tunai. Pihak peserta perlu menyediakan wang tunai sebagai penyertaan. Pihak kolam tidak menggunakan wang penyertaan sebagai hadiah dan hukumnya harus. Jika pihak kolam mendapat keuntungan dari penyertaan dan untuk pertandingan pada tarikh yg lain dan menggunakan duit keuntungan sebagai hadiah adakah ia haram atau harus ustaz?. Duit yang dapat dari hasil pertandingan sebelum digunakan untuk hadiah pertandingan yang seterusnya. Pada tarikh berbeza. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Secara umum, menganjurkan pertandingan seperti pertandingan memancing adalah diharuskan. Begitu juga harus bagi pihak penganjur untuk mengenakan barang penyertaan yang akan digunakan sebagai pengurusan pertandingan seperti penyewaan tempat, peralatan pertandingan dan sebagainya. Walau bagaimanapun, penganjur adalah dilarang daripada mengambil sebarang keuntungan daripada bayaran penyertaan tersebut bagi mengelakkan unsur ekploitasi serta helah terhadap hadiah yang disediakan. Manakala hadiah hendaklah tidak diambil daripada bayaran penyertaan peserta bagi mengelakkan unsur perjudian.

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Garis Panduan Peraduan Berasaskan Hadiah Bil.5 Tahun 2013, yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Boleh juga didapati di laman berikut: https://www.islam.gov.my/images/garis-panduan/garis_panduan_peraduan_berasaskan_hadiah.pdf   

Merujuk kepada soalan yang diajukan, adalah tidak dibenarkan untuk mendapat sebarang keuntungan daripada pertandingan pertama yang dianjurkan. Pastikan bahawa bayaran penyertaan yang dikenakan adalah berdasarkan keperluan perbelanjaan sebenar pertandingan. Lebihan daripada wang tersebut boleh digunakan untuk keperluan peserta pertandingan atau menyalurkannya kepada kebajikan awam.   

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 42

message user image