BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apakah boleh melakukan doa qunut di rakaat terakhir dalam solat witir di bulan bukan Ramadhan seperti yang dilakukan mulai pada malam 16 Ramadhan. Sekian terima kasih 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, terdapat 2 pandangan dalam mazhab Syafi'i mengenai bacaan qunut pada rakaat terakhir dalam solat witir dalam bulan selain Ramadhan.

1) Menurut pendapat muktamad dalam mazhab Syafi’ie, qunut witir disunatkan pada 15 malam terakhir bulan Ramadan, sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Ramli di dalam kitab Nihayah al-Muhtaj:

ويندب القنوت آخر وتره أي آخر ما يقع وترا، فشمل ذلك من أوتر بركعة واحدة في النصف الثاني من رمضان

Maksudnya: Disunatkan qunut pada akhir solat witirnya yang mana pada rakaat yang ganjil, maka ia meliputi bagi sesiapa yang mengerjakan solat witir satu rakaat pada separuh kedua dari bulan Ramadan.

2) Pendapat kedua dalam mazhab Syafi’i iaitu doa qunut disunatkan pada solat witir sepanjang tahun yang mana ia tidak dikhususkan hanya pada 15 malam terakhir Ramadan. Hal ini dinyatakan oleh Imam Ramli dalam kitab yang sama:

وقيل يسن في آخرة الوتر كل السنة

Maksudnya: Menurut pendapat yang lain disunatkan (qunut) pada akhir rakaat witir sepanjang tahun.

Kesimpulannya, pendapat muktamad dalam mazhab Syafi’i qunut witir disunatkan hanya pada 15 malam terakhir di bulan Ramadan, namun wujud pendapat kedua dalam mazhab iaitu disunatkan pada bila-bila masa solat sunat witir dilaksanakan tanpa pengkhususan pada bulan Ramadan sahaja dan ini juga pendapat pilihan Imam Nawawi yang mana boleh juga diamalkan bagi sesiapa yang hendak mengamalkannya kerana isu ini merupakan khilaf yang muktabar di sisi para ulama.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 41

message user image