BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya seorang cina mualaf, masuk Islam sejak Februari 2024. Sebelum saya kembali ke fitrah, saya adalah seorang penganut Kristian sejak umur 1998. Saya seorang anak yang derhaka pada ibu masa itu. Ibu saya meninggal dunia pada 2013. Dia meninggal seorang mualaf.

Soalan saya ialah, adakah saya haram masuk syurga, adakah semua amalan baik serta solat dan ibadah saya tidak akan diterima Allah subhanahu wataala. 

Puas saya geledah internet cari jawapan.

Jabatan mufti, sila berikan saya petunjuk.

Sekian terima kasih 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Apabila telah melafaz syahadah memeluk Islam, nescaya akan terampun dosanya ketika sebelum Islam dengan berbuat amal kebaikan selepas memeluk Islam. Antara dalil Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Anfal ayat 38:

قُل لِّلَّذِينَ كَفَرُوا إِن يَنتَهُوا يُغْفَرْ لَهُم مَّا قَدْ سَلَفَ وَإِن يَعُودُوا فَقَدْ مَضَتْ سُنَّتُ الْأَوَّلِينَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti (dari kekufurannya), nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu, dan jika mereka kembali lagi (ingkar maka Kami akan menyeksa mereka), kerana sesungguhnya telah berlakulah kebinasaan orang-orang (yang kufur ingkar) dahulu kala

Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim (4/40) menjelaskan: Maksudnya (berhenti dari melakukan) dari apa yang mereka perbuat berupa kekufuran dan penentangan. Hendaklah mereka masuk Islam, taat dan kembali kepada Allah. Jika demikian, nescaya Allah akan mengampuni mereka atas apa yang telah berlalu. Maksudnya dari kekufurannya, dosa-dosanya dan kesalahan-kesalahannya sebagaimana disebut dalam hadis sahih, daripada Ibn Mas'ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَحْسَنَ فِي الْإِسْلَامِ لَمْ يُؤَاخَذْ بِمَا عَمِلَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ وَمَنْ أَسَاءَ فِي الْإِسْلَامِ أُخِذَ بِالْأَوَّلِ وَالْآخِرِ

Maksudnya: Sesiapa yang berbuat baik dalam Islam, apa yang dilakukannya pada masa Jahiliyyah (sebelum memeluk Islam) tidak dihukum, dan siapa yang berbuat buruk dalam Islam, akan dihukum dari awal hingga akhir.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jelaslah di sini bahawa segala dosa yang telah dilakukan pada ketika sebelum Islam akan terampun dosanya sekiranya kita terus melakukan amal kebaikan setelah Islam. Kami juga menyarankan supaya anda terus mendoakan ibu anda yang telah meninggal dunia.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 15

message user image