BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya mahu meminta pandangan bagaimana caranya agar hati saya dapati berhenti daripada silap mengumpat di dalam hati, bersangka buruk atau berkata buruk di dalam hati? Saya sedar perbuatan ini berdosa namun kadang kala ianya datang secara automatik Dan hilang selepas saya berbual atau saya memikirkan perkara lain. Selepas itu, saya kembali teringat akan hati saya pernah bersangka buruk, mengumpat Dan lain lain menjadikan saya berasa sedih Dan takut untuk meminta maaf kerana boleh jadi orang itu tidak saya kenal atau jarang bertemu tetapi hati saya sudah berkata buruk.

Selain itu, saya pernah dengari bahawasanya mendengar orang mengumpat juga dikira berdosa. Kadangkala reaksi spontan saya ketika mendengar umpatan seperti tergelak kecil menjadikan saya berasa serba salah. Walaubagaimanapun, ketika mendengar umpatan mengenai seseorang, saya mencuba untuk membawa orang yang mengumpat itu untuk ke arah kebaikan seperti berhusnuzon. Tetapi rasa bersalah saya Masih ada berkaitan dengan reaksi spontan saya seperti tergelak kecil ketika mendengar cerita tersebut.

Akhir sekali, saya ingin meminta nasihat tuan bagaimana caranya agar saya dapat menghilangkan was was saya ketika solat di mana saya mudah was was merasakan badan saya bergoyang sedikit. Mungkin tidak dapat kelihatan dengan mata kasar tetapi saya berasa seperti bergerak ke kiri kanan Dan depan belakang sehingga saya berasa penat untuk mengulangi solat saya beberapa Kali untuk berasa bahawasanya solat saya sah.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Sebagai seorang manusia biasa kita memang tidak lepas daripada melakukan kesilapan dan dosa. Tambahan pula dosa yang melibatkan tentang permasalahan hati. Pada akhirnya, yang akan membezakan antara kita semua adalah iman dan taqwa. Salah satu tanda kita masih mempunyai iman dan taqwa adalah kita rasa serba salah apabila melakukan dosa dan kesilapan. Jadi bersyukurlah jika Tuan masih ada rasa salah dalam diri apabila melakukan kesilapan. Mungkin rasa salah itu adalah teguran dan peringatan daripada Allah SWT seterusnya menunjukkan Allah SWT masih ingat kepada kita. 

Lintasan hati bersangka buruk atau mengumpat kepada orang lain yang datang dengan sendirinya tidak menjadikan kita berdosa kepada orang yang kita umpat. Melainkan sekiranya hati kita bertekad dan bersungguh-sungguh mengiyakannya. Besar kemungkinan lintasan atau bisikan hati yang buruk seperti itu datangnya daripada bisikan syaitan sebagaimana fieman Allah SWT di dalam surah al-Nas ayat 5-6:

الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ (5) مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ (6)

Bermaksud: Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, - (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.

Oleh itu, perbanyakkan berdoa dan meminta perlindungan daripada Allah SWT. Sekiranya terlintas bisikan atau lintasan seperti itu, terus sahaja beristigfar kepada Allah SWT. 

Mendengar orang lain mengumpat boleh membawa kepada dosa jika kita redha dengan umpatan tersebut serta tidak menasihati orang yang mengumpat tersebut. Ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Sa'id al-Khudri, sabda Rasulullah SAW:

 من رأى منكم منكرا فليغيره بيده ، فإن لم يستطع فبلسانه ، فإن لم يستطع فبقلبه ، وذلك أضعف الإيمان

Maksudnya: Sesiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegahnya dengan tangannya iatu kemampuannya. Jika tidak mampu maka cegahlah dengan lisan. Jika tidak mampu maka cegahlah dengan hati dan ini adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim)

Berbeza pula jika selepas mendengar umpatan kita menasihati orang yang mengumpat tersebut. Maka kita telah mencegah kemungkaran dan insha Allah beroleh pahala daripada Allah SWT.

Merasa badan bergoyang sedikit tidak menjadikan solat tidak sah. Apatah lagi jika perbuatan itu tidak disengajakan. Berhati-hatilah dengan waswas, kerana ia adalah suatu penyakit yang jika tidak ditangani dengan baik boleh mengganggu kehidupan seharian atau ibadah kita.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 37

message user image