BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Semasa tawaf wada pada tahun 2017, anak saya telah menaiki skuter. Pada pusingan ke 7, dia telah parking skuter nya yang terletak sebelum lampu hijau. Saya telah membawanya menyambung tawafnya dengan berjalan kaki hingga ke lampu hijau untuk melengkap kan pusingan tawafnya. Saya tidak pasti bagaimana  jemaah yang lain mengira untuk pusingan ke 7 kerana menurut anak saya ada juga  jemaah yang terus parking skuter seperti nya.

Pada andaian saya, kemungkinan juga jemaah yang lain telah selesai tawafnya sebelum memulang kan skuter mereka kerana semasa itu saya belum berada di tempat parking tersebut. Ada juga jemaah yang pernah manaiki skuter sebelum ini. Pasti mereka lebih berilmu dari saya.

Setelah 7 tahun berlalu saya terfikir,  berdosa kah saya kerana tidak bertanya kepada jemaah yang lain ketika itu tentang tawaf mereka.

 


message user image

Jawapan  

 السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan:

Tanggungjawab menasihati orang lain menjadi tanggungjawab setiap individu mengikut kemampuan seseorang. Terdapat beberapa ayat al-Quran dan hadis berkenaan tuntutan menyuruh perkara kebaikan dan mencegah kemungkaran, antaranya adalah:

1.  Firman Allah SWT di dalam surah Ali Imran ayat 110:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ

Maksudnya: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).

2.  Hadis daripada Abu Said al-Khudri RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan lisannya, dan sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan hatinya yang demikian itu (mengingkarkan dengan hati) adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim)

Dalam situasi di atas, puan sendiri tidak pasti sama ada jemaah lain sah atau tidak ibadahnya. Oleh itu, tidak menjadi kewajipan untuk kita memastikan keabsahan ibadah setiap orang dalam kalangan orang Islam lebih-lebih lagi dalam keadaan kita tidak pasti situasi sebenar seseorang itu. Namun, sekiranya kita dapati terdapat perkara yang membatalkan ibadah seseorang secara pasti seperti seseorang yang tersalah kiblat, terdapat najis ketika dia solat dan sebagainya. Maka menjadi kewajipan dan tanggungjawab untuk kita menegurnya mengikut kemampuan kita.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 35

message user image