BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Selalunya apabila seseorang individu terkena gangguan sihir yang dibuat oleh orang, perubatan islam menjadi pilihan utama. Keluarga saya telah mengalami gangguan sihir berkali-kali dan kami telah pergi ke ramai pengubat cara islam namun gangguan sihir itu masih dihantar. Kebanyakan pengubat yang kami pergi menyatakan orang yang menghantar sihir ini adalah orang yang sama.

Pengubat terakhir yang kami pergi setakat ini katanya telah "menghantar ilmu menyihir dia ke tempat lain untuk menuntut ilmu islam. Jadi minda penyihir itu 'kosong' " Keluarga saya tidak terkena gangguan buat sementara waktu. Namun kebelakangan ini kami terkena gangguan sihir lagi dan ia dibuat oleh orang yang sama (dia mengupah orang lain untuk menyihir kami).

Saya hendak tanya, kalau pengubat kami mencadangkan (atau kami membuat keputusan) untuk melawan penyihir itu sehingga penyihir itu mati, adakah keluarga saya mendapat dosa membunuh? Gangguan ini telah menyebabkan ahli keluarga saya sakit dan kucing peliharaan saya juga telah mati seekor disebabkannya.

Saya mohon cerita tentang keluarga saya ini dirahsiakan jika hendak post soalan saya di website mufti. Terima kasih 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Sebelum menjawab soalan yang diajukan, perlu kita faham bagaimana bentuk rawatan Islam yang sebenar bukan pula rawatan yang menunggang nama perubatan Islam. Perubatan Islam yang benar adalah dengan menggunakan kaedah rawatan yang dibenarkan syarak termasuklah ruqyah menggunakan ayat-ayat al-Quran dan zikir-zikir yang baik. Pengamal perubatan Islam yang sebenar tidak boleh tahu siapa yang menyihir pesakit dan tidak tahu dari mana datangnya sihir itu. Ini kerana ia merupakan perkara ghaib. Perawat yang mengetahui siapa yang menyihir dan dari mana datangya sihir itu berkemungkinan perawat ini juga menggunakan sihir atau jin dan perkara ini tidak dibenarkan syarak. Perawat yang mencadangkan supaya melakukan perkara yang bertentangan dengan syarak juga adalah bukan pengamal perubatan Islam yang benar melainkan menunggang nama perubatan Islam.

Bagi menjawab soalan yang diajukan, haram hukumnya melawan penyihir sehingga membawa kematian. Ini kerana ia sama seperti membunuh orang lain. Kaedah yang dicadangkan juga seolah-olah menggunakan sihir atau jin secara tanpa sedar. Maka ia adalah perkara yang bertentangan dengan syarak. Kaedah yang dicadangkan juga tidak menepati seperti apa yang diajarkan oleh Nabi SAW ketika Baginda SAW disihir.

Sedikit nasihat, bersabarlah dengan apa yang dilalui kerana ini adalah ujian Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang dikasihi. Berusahalah cari rawatan yang dibenarkan syarak bukan pula rawatan yang menunggang nama perubatan Islam. Mungkin ini juga adalah ujian Allah SWT supaya berusaha mencari cara yang diredhai-Nya bukan pula cara yang dimurkai. Dinasihatkan juga supaya banyakkan zikir dan bacaan al-Quran sebagai pendinding diri dan keluarga serta banyakkan berdoa kepada Allah SWT kerana semua ini adalah atas ketentuan-Nya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 113

message user image