BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t.

Saya ingin bertanya kepada tuan mufti.

Baru-baru ini KWSP membenarkan pencarum untuk mengeluarkan wang melalui Akaun 3 dan jika jumlah simpanan melebihi kadar nisab, makanya wajib untuk dikenakan Zakat. Saya ingin tanya, jika saya ingin mengeluarkan wang KWSP melalui akaun 3 itu kerana untuk melunaskan hutang atau untuk mengurangkan bebanan hutang, adakah akan dikenakan zakat juga?

Sekian.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد      

Di antara syarat wajib zakat wang adalah wang itu dimilik secara milkul tam atau pemilikan yang sempurna, iaitu harta tersebut boleh digunakan atau dimanfaatkan tanpa sebarang sekatan.

Pemilikan keseluruhan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadi sempurna apabila pencarum mencapai umur 55 tahun, yang mana pencarum berhak untuk mengeluarkan keseluruhan wang simpanan tersebut. Zakat wang KWSP itu wajib ditunaikan sekiranya ia memenuhi syarat wajib zakat iaitu cukup haul (setahun dalam pemilikan) dan nisab (cukup kadarnya). Walau bagaimanapun, merujuk kepada Fatwa Selangor bertajuk Fatwa Kaedah Pembayaran Zakat KWSP yang diwartakan pada tahun 2001, pemilik wang KWSP boleh terus mengeluarkan zakat tanpa menunggu tempoh setahun. 

Sila rujuk: https://www.muftiselangor.gov.my/2023/10/28/fatwa-tentang-kaedah-pembayaran-zakat-kwsp/

Merujuk kepada soalan yang diajukan, pemilkan wang simpanan di dalam akaun 3 KWSP dianggap sebagai pemilikan sempurna kerana pencarum berhak untuk mengeluarkannya pada bila-bila masa sahaja. Oleh itu, ia dianggap seperti wang simpanan di dalam bank-bank biasa yang wajib dikenakan zakat sekiranya mencukupi syarat wajib zakat. Sekiranya wang simpanan di dalam akaun 3 KWSP itu digunakan untuk membayar hutang, maka ia tidak lagi wajib dikenakan zakat, melainkan sekiranya baki daripada akaun tersebut digabungkan dengan simpanan wang di akaun bank yang lain mencukupi nisab zakat. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 23

message user image