BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya mahu bertanya, sewaktu ketika tahiyyat akhir solat Jumaat, hati saya berkata lebih kurang seperti "syaitan tolonglah ganggu waktu/tempat lain" kerana sebelum ini saya sangat tidak boleh fokus bersolat sehinggakan mengulangi solat fardhu saya berkali kali kerana khuatir saya telah keluar daripada Islam kerana hati saya ini. Selepas berkata seperti itu, ada seperti lintasan hati yang mengatakan seperti membuat perjanjian dengan syaitan di mana Alhamdulillah cepat cepat saya sedar Dan menepis lintasan itu kerana percaya yang membuat perjanjian dengan syaitan ini berdosa seperti yang terdapat di dalam filem. Saya berasa khuatir akan keimanan saya tetapi saya kuatkan hati untuk terus habiskan solat Dan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, sempat untuk saya mengucapkan dua kalimah syahadah sendirian. Akan tetapi was was itu datang kembali ketika saya di rumah maka saya pun mengambil keputusan untuk menunaikan solat fardhu zohor sebagai ganti kepada solat Jumaat yang dikhuatiri terbatal itu. Sedang saya solat zohor, hati ada terdetik bahawasanya saya mampu untuk melawan bisikan syaitan ketika di masjid tetapi seperti rasa kalah kepada syaitan kerana mengambil keputusan untuk mengganti solat Jumaat saya dengan solat zohor di rumah. Akan tetapi, dapat saya tepis sebelum seingat saya belum lagi perasaan pengakuan yang saya tewas kepada syaitan itu sempat lalu di hati saya. Ketika solat juga ada hati saya juga berkata buruk kepada orang lain dengan tuduhan yang tidak berasas namun cepat saya abaikan walaupun seperti 2 Kali lintasan itu terjadi dalam masa yang sama/dalam masa yang singkat antara kedua duanya. Kerana saya pernah terbaca mengenai khanzad tidak silap namanya yang akan menggangu manusia sewaktu solat menjadikan kita tidak khusyuk ketika solat. Soalan saya adakah keimanan saya terbatal sewaktu solat Jumaat lagi atau tidak Dan bagaimana untuk saya berasa tenang ketika solat Dan beribadah secara umum kerana saya berasa sangat resah akibat bisikan Dan lintasan ini akan membuatkan saya keluar daripada Islam sehingga saya banyak Kali mengulangi dua kalimah syahadah saya Dan wuduk Dan solat saya akibat perasaan ini. Untuk makluman sebelum ini was was saya sedikit sahaja seperti susah untuk berniat solat, namun menjadi semakin parah di mana saya khuatir bahawasanya bernafas daripada hidung sehingga boleh saya dengari ketika solat boleh membatalkannya Dan menjadi parah sehingga saya khuatir akan keimanan saya kerana pada hari semalam, telah berlaku satu bisikan ketika solat asar di mana saya berasa was was sehingga memberhentikan solat saya di pertengahan waktu Dan akibat berasa amat geram dan penat di hati, maka terdetik di hati yang mengatakan "Ya" kepada bisikan yang mengajak saya untuk keluar daripada Islam. Saya tidak berasa apa apa ketika itu tetapi ketika mahu mengucapkan dua kalimah syahadah sebelum mengambil wuduk untuk mula kembali solat asar saya, saya berasakan atau terdapat lintasan yang mengatakan saya telah keluar daripada Islam Dan ketika itu saya amat takut Dan mengucapkan dua kalimah syahadah kembali. Namun, saya berasa was was dengan syahadah saya kerana saya mengucapkannya secara sendirian sahaja tanpa ada saksi. Saya khuatir ianya menjadi tidak sah namun saya ada membuat kajian dengan mendengar pandangan ustaz di internet bahawasanya mengucapkan dua kalimah syahadah tidak perlu di hadapan saksi kerana ianya urusan dengan Allah SWT. kita mengucapkannya di hadapan umum bagi mengatakan keislaman kita kepada khayalak ramai agar mudah untuk urusan kehidupan seperti bantuan zakat Dan lain lain. Adakah benar seperti ini? Maafkan saya ianya amat panjang tetapi saya berasa sangat takut Dan resah akibat was was saya yang semakin hari semakin teruk sehinggakan berani mencabar keimanan saya kepada Allah SWT. Terima kasih, Assalamualaikum w.b.t.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Perlu difahami bahawa iman itu adalah membenarkan di dalam hati. Dalam erti kata lain, iman adalah berkaitan dengan kepercayaan. Selagi seseorang itu mengucapkan dua kalimah syahadah serta beriman iaitu mempercayai dan berpegang dengan rukun iman dan Islam, selagi itu orang tersebut adalah Islam dan beriman. 

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, lintasan atau bisikan di dalam hati kata-kata kufur atau murtad tidak menjadikan seseorang itu menjadi kafir atau terkeluar daripada Islam. Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي مَا وَسْوَسَتْ بِهِ صُدُورُهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَكَلَّمْ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku apa yang diwaswaskan (bisikan) dengannya di dalam hatinya selagimana dia tidak melakukan atau mengucapkan (apa yang diwaswaskan). (Riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, saudara masih lagi seorang Islam dan tidak menjadi kafir.  

Perasaan waswas serta bisikan seperti itu datangnya daripada bisikan syaitan yang tugasnya adalah untuk menyesatkan manusia. Ia adalah penyakit yang sekiranya tidak ditangani dengan sebaiknya boleh mengganggu perjalanan kehidupan seharian seseorang.

Antara panduan yang telah digariskan oleh para ulama bagi mengatasi masalah waswas adalah:

  1. Mengambil sikap tidak peduli, iaitu dengan membiarkan dan mengabaikan perasaan waswas tersebut. Begitu juga lintasan-lintasan atau bisikan-bisikan kata-kata kufur dan sebagainya.

  2. Bersabar dan terus mencuba menghilangkan waswas. Mereka yang ditimpa penyakit waswas ini sebenarnya sedang diuji, iaitu ujian menentang syaitan.

  3. Mempelajari tatacara ibadah yang sahih. Dengan mempelajari ibadah yang sempurna dapat membantu menghindari penyakit was-was ini.

  4. Sentiasa memohon perlindungan Allah SWT. Ini kerana bisikan syaitan sentiasa menyebabkan perasaan waswas kepada manusia.

  5. Meletakkan keyakinan yang tinggi dalam setiap ibadah yang dilaksanakan bahawa ibadah yang dilakukan adalah sah.

Perasaan tidak yakin atas sesuatu itu merupakan penyakit waswas pada diri tuan yang perlu dielakkan dan dijauhi bagi menggelakkan permasalahan yang lebih berat kepada diri tuan pada masa akan datang. Para ulama amat mengambil berat mengenai penyakit ini kerana jika dibiarkan berlarutan boleh menjadi sesuatu yang lebih kronik kerana ianya penyakit yang berkaitan dengan jantung hati. Orang yang selalu merasa waswas dalam ibadah sehingga melakukannya berulang-ulang kali, atau melayan perasaannya yang sentiasa merasa bebanan waswas hendaklah bertanyakan dirinya sendiri; untuk apa ia lakukan itu semua? Jika ia untuk Allah SWT, maka hendaklah dia tahu bahawa Allah SWT tidak meredhai tindakannya melayan gangguan perasaan atau syaitan yang seperti itu. Layanan kepada perasaan waswas itu hanya mentaati syaitan atau ganggu emosi yang salah, bukan mentaati Allah SWT. Untuk itu, perbanyakkanlah istighfar kepada Allah SWT, mudah-mudahan penyakit ini akan beransur pulih dengan izin-Nya.

Apa yang boleh lakukan adalah sentiasa memperbaharui iman dengan cara memperbanyakkan ucapan (لا اله الا الله) sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

جَدِّدُوا إِيمَانَكُمْ، قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، وَكَيْفَ نُجَدِّدُ إِيمَانَنَا، قَالَ: أَكْثِرُوا مِنْ قَوْلِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ

Bermaksud: Perbaharuilah iman kamu, Rasulullah ditanya: Bagaimana cara untuk memperbaharui iman kami. Rasulullah SAW bersabda: Perbanyakan berkata لا اله الا الله. (Riwayat Ahmad).

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 268

message user image