BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan, saya mahu bertanya, ketika saya menunaikan solat fardu asar semalam, ada lintasan seperti menidakkan Allah atau mengajak saya untuk murtad. Saya melawannya tetapi was was saya semakin teruk sehinggakan saya berhenti di pertengahan solat lalu bisikan seperti itu muncul kembali Dan saya dengan hati yang geram dan penat berkata "Ya" lalu bisikan itu muncul lagi. Saya berasa sungguh berdosa kerana telah mengiyakan pernyataan yang telah mengeluarkan saya daripada Islam. Saya mahu mengambil wuduk semula tetapi saya bersyahadah dahulu, akan tetapi sebelum saya bersyahadah ada bisikan yang mengatakan seperti saya telah jadi orang bukan Islam. Saya amat takut Dan pada masa yang sama saya berasa was was adakah saya perlu mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan saksi atau tidak. Menurut kajian saya, majoriti mengatakan dua kalimah syahadah boleh diucapkan sendiri kerana ianya urusan dengan Allah SWT Dan ucapan di hadapan saksi hanya sebagai tujuan untuk mengumumkan keislaman seseorang kepada khayalak ramai. Adakah ianya benar? 

Sepanjang hari selepas kejadian itu berlaku, saya berasa sangat susah hati Dan was was adakah syahadah saya diterima Dan juga apa-apa lintasan di hati seperti mengatakan solat itu susah kerana sebelum ini saya ada berasa was was sama ada bernafas yang kuat atau boleh didengari di telinga sendiri itu adakah ianya akan membatalkan solat, maka ditambah pula dengan was was keimanan saya ini menjadikan saya sangat sedih, takut, gusar Dan was was saya semakin teruk. 

Saya Cuba untuk melawan bisikan itu tetapi ianya menjadi lebih teruk bisikan itu ketika saya mahu menunaikan solat sehingga berkali Kali berhenti di pertengahan solat, bersyahadah semula secara sendirian Dan kemudian mengambil wuduk sehingga saya kurang meluangkan masa bersama keluarga saya pada malam itu. Saya sangat sedih tuan kerana sudahlah saya berasa was was untuk beribadah, keimanan saya seperti diganggu oleh syaitan malah masa bersama ibu Dan Nenek saya juga terabai. 

Buat waktu ini, saya Cuba melawan bisikan itu Dan juga kerap bersyahadah secara sendirian apabila was was akan bisikan itu. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, lintasan atau bisikan di dalam hati kata-kata kufur atau murtad tidak menjadikan seseorang itu menjadi kafir atau terkeluar daripada Islam. Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي مَا وَسْوَسَتْ بِهِ صُدُورُهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَكَلَّمْ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku apa yang diwaswaskan (bisikan) dengannya di dalam hatinya selagimana dia tidak melakukan atau mengucapkan (apa yang diwaswaskan). (Riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, saudara masih lagi seorang Islam dan tidak menjadi kafir.  

Perasaan waswas serta bisikan seperti itu datangnya daripada bisikan syaitan yang tugasnya adalah untuk menyesatkan manusia. Ia adalah penyakit yang sekiranya tidak ditangani dengan sebaiknya boleh mengganggu perjalanan kehidupan seharian seseorang.

Antara panduan yang telah digariskan oleh para ulama’ bagi mengatasi masalah waswas adalah:

  1. Mengambil sikap tidak peduli, iaitu dengan membiarkan dan mengabaikan perasaan waswas tersebut. Begitu juga lintasan-lintasan atau bisikan-bisikan kata-kata kufur dan sebagainya.
  2. Bersabar dan terus mencuba menghilangkan was-was. Mereka yang ditimpa penyakit was-was ini sebenarnya sedang diuji, iaitu ujian menentang syaitan.
  3. Mempelajari tatacara ibadah yang sahih. Dengan mempelajari ibadah yang sempurna dapat membantu menghindari penyakit was-was ini.
  4. Sentiasa memohon perlindungan Allah SWT. Ini kerana bisikan syaitan sentiasa menyebabkan perasaan was-was kepada manusia.
  5. Meletakkan keyakinan yang tinggi dalam setiap ibadah yang dilaksanakan bahawa ibadah yang dilakukan adalah sah.

Perasaan tidak yakin atas sesuatu itu merupakan penyakit was-was pada diri tuan yang perlu dielakkan dan dijauhi bagi menggelakkan permasalahan yang lebih berat kepada diri tuan pada masa akan datang. Para ulama’ amat mengambil berat mengenai penyakit ini kerana jika dibiarkan berlarutan boleh menjadi sesuatu yang lebih kronik kerana ianya penyakit yang berkaitan dengan jantung hati. Orang yang selalu merasa was-was dalam ibadah sehingga melakukannya berulang-ulang kali, atau melayan perasaannya yang sentiasa merasa bebanan was-was hendaklah bertanyakan dirinya sendiri; untuk apa ia lakukan itu semua? Jika ia untuk Allah SWT, maka hendaklah dia tahu bahawa Allah SWT tidak meredhai tindakannya melayan gangguan perasaan atau syaitan yang seperti itu. Layanan kepada perasaan was-was itu hanya mentaati syaitan atau ganggu emosi yang salah, bukan mentaati Allah SWT. Untuk itu, perbanyakkanlah istighfar kepada Allah SWT, mudah-mudahan penyakit ini akan beransur pulih dengan izin-Nya.

Apa yang boleh lakukan adalah sentiasa memperbaharui iman dengan cara memperbanyakkan ucapan (لا اله الا الله) sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

جَدِّدُوا إِيمَانَكُمْ، قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، وَكَيْفَ نُجَدِّدُ إِيمَانَنَا، قَالَ: أَكْثِرُوا مِنْ قَوْلِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ

Bermaksud: Perbaharuilah iman kamu, Rasulullah ditanya: Bagaimana cara untuk memperbaharui iman kami. Rasulullah SAW bersabda: Perbanyakan berkata لا اله الا الله. (Riwayat Ahmad).

والله أعلم بالصواب

 

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 34

message user image